Home Politik Bank Pusat sudah beri amaran, laksana segera pakej ekonomi

Bank Pusat sudah beri amaran, laksana segera pakej ekonomi

Lim Ban Hong

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia yang hanya berkembang 4.3 peratus pada tahun lalu – paling rendah sejak krisis kewangan global dan ia adalah amaran besar.

Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong berkata, kelembapan dalam ekonomi sebenarnya telah meningkat sejak tahun lalu tetapi kerajaan khususnya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sentiasa mempersoalkan maklumat daripada agensi penarafan yang berwibawa.

Menurutnya, data daripada Bank Negara Malaysia (BNM) adalah benar dan tepat, oleh itu kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam memastikan negara bertahan dalam krisis.

“Semua lapisan masyarakat telah mula merasai kemelesetan ekonomi apabila kuasa beli jauh lebih buruk daripada masa lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Ban Hong, kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih tidak sedar dan masih menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kerajaan pula meminta pihak berkepentingan industri memberi maklum balas untuk merangka pakej rangsangan ekonomi, pendekatan ini tidak serius dan menunjukkan kerajaan menolak pandangan daripada bukan kerajaan, katanya.

“Sedangkan, Gabenor Bank Negara Malaysia menegaskan impak ke atas ekonomi akibat wabak Covid-19 bergantung kepada bagaimana ia merebak dan tempohnya serta tindak balas polisi negara-negara terlibat,” katanya lagi.

Tambahnya, Tahun Melawat Malaysia tahun ini dijangka menarik 30 juta pelancong untuk meningkatkan ekonomi domestik menerusi pelancongan dalam negeri.

“Tetapi dengan keadaan wabak semasa, kerajaan perlu memperkenalkan strategi alternatif dan bukan terlalu bergantung kepada perdagangan dan pelancongan ke Malaysia.

“Kerajaan tidak boleh lagi menggunakan berbagai alasan untuk tidak melunaskan tanggungjawabnya, tetapi perlu menggunakan kaedah praktikal dan berkesan bagi melaksanakan pemulihan ekonomi secepat mungkin,” katanya yang menyifatkan situasi ekonomi merupakan ujian terbesar bagi Kerajaan Persekutuan.

Tambah beliau, bon kerajaan kini menyumbang 60.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dan melebihi had undang-undang sebanyak 55 peratus.

“Adakah kerajaan melanggar undang-undangnya sendiri?

“Dengan negara kini mengalami kemelesetan ekonomi, kerajaan PH mesti membuat pelbagai pelan untuk merangsang dan menyelamatkan ekonomi.

“Pendekatan harus beralih daripada meminjam lebih banyak wang kerana pinjaman itu hanya menyebabkan prospek ekonomi negara menjadi lebih membimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette