Home Nasional Berhenti berselindung di sebalik angka statistik yang hebat – MCA

Berhenti berselindung di sebalik angka statistik yang hebat – MCA

Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR- Kerajaan dinasihat supaya berhenti berselindung di sebalik angka-angka statistik yang hebat.

Ini kerana menurut Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon, hakikatnya rakyat sedang menderita akibat tekanan ekonomi.

Katanya, prestasi lemah ekonomi negara ketika ini disebabkan oleh pergolakan dalaman serta perebutan kuasa di dalam parti pemerintah, Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, pelabur-pelabur asing sukar meletakkan kepercayaan kepada sebuah negara yang mempunyai politik yang tidak stabil manakala butiran peralihan kuasa pula masih samar-samar.

“Lim Guan Eng pada 30 Jun 2019 semasa berdialog dengan rakyat Malaysia ketika lawatan ke Beijing mendakwa, 2019 adalah tahun pemulihan ekonomi dengan menyebut jumlah jualan kenderaan meningkat 13 peratus pada lima bulan pertama sebagai asas unjurannya.

“Sehingga 5 Januari lalu Guan Eng masih cakap besar mengenai manfaat yang diperolehi daripada dasar PH dan mengatakan Malaysia akan lebih baik pada 2020.

“Bagaimanapun baru-baru ini Bank Negara Malaysia mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar suku keempat 2019 adalah terendah sejak krisis kewangan 2009.

“Dengan “episod Games of Thrones” yang masih berterusan dan koronavirus apakah ekonomi akan lebih baik daripada 2019?”

“Anda sepatutnya menjadi hakimnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Hang Soon, penularan wabak Covid-19 yang masih belum diketahui bila akan berakhir menyebabkan masa depan ekonomi Malaysia masih tidak menentu. -MalaysiaGazette