SINGAPURA- Kebimbangan terhadap penularan Covid-19 di seluruh rantau ini menyebabkan farmasi dan pasar raya di Hong Kong dan Singapura kehabisan bekalan tisu tandas, tisu, pembasuh tangan dan topeng muka.
Ini membuka peluang kepada penyedia perkhidmatan untuk menarik perhatian serta mengukuhkan hubungan dengan pelanggan masing-masing.
Usaha penyedia dagangan dalam talian di Singapura, IG Group menjadi tular apabila menyediakan pek parti yang mengandungi topeng muka N95, thermometer digital dan beberapa botol antiseptik Dettol.
IG mula mengagihkan hadiah tersebut selepas Singapura menaikkan status penularan wabak berkenaan kepada jingga (paras kritikal).
“Semuanya bermula sebagai langkah berjaga-jaga dalam kalangan keluarga dan sahabat sahaja dan mereka mula bertanya bagaimana untuk mendapatkan topeng muka serta barangan-barangan lain?
“Jadi kami fikir, mengapa tidak hadiahkan pek parti tersebut kepada kakitangan serta pelanggan kami?” soal Ketua Pembangunan Perniagaan IG Asia Pte, Terence Tan.
Tambahnya, pakej pertama untuk para pelanggan mula diagihkan hari ini dan mereka akan memberikan lebih banyak pakej apabila bekalan tambahan tiba.
Menurut seorang pelabur dana berbangsa Amerika yang menetap di Hong Kong, Joel Warner, beliau telah membeli 216 gulung tisu tandas melalui Amazon. Com pada 10 Februari lalu apabila gagal mendapatkan bekalan tisu tandas di Hong Kong.
Kos penghantaran sahaja menelan belanja sebanyak $200 tetapi beliau merasakan ia berbaloi.
Katanya, separuh daripada pembelian tersebut adalah untuk kegunaan sendiri manakala selebihnya akan diagih-agihkan kepada sahabat-sahabat dan rakan sekerja.
“Ia adalah hadiah yang lebih baik daripada wine pada masa ini,” katanya.- MalaysiaGazette