SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu abang kepada Allahyarham Nazrin Hassan tidak memaklumkan wujudnya ugutan bunuh terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund itu sebelum kematiannya pada Jun 2018 kepada polis kerana yakin kes itu akan disiasat dengan lebih mendalam.
Saksi pendakwaan ke-19, Dr Malek Reedzwan Hassan berkata, maklumat mengenai ugutan itu diperolehnya ketika berjumpa dengan pembantu peribadi Nazrin yang dikenali dengan nama Anis.
“Tugas saya adalah untuk mencari sedikit maklumat bagi diri saya dan saya yakin polis juga akan membuat siasatan dengan lebih mendalam.
“Saya berjumpa Anis sebab saya ingin tahu apakah kejadian yang boleh menghalakan kepada kematian (Nazrin). Itu atas inisiatif saya sendiri,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman.
Menjawab soalan Ashyraf Ashy’ari mengapa beliau terlalu ingin tahu mengenai keadaan sebelum Nazrin dibunuh, saksi menjawab “Apabila kematian (dilihat) meragukan, tidak ada sakit, perasaan ingin tahu timbul tentang apa sebenarnya yang berlaku.”
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, bertanya kepada Dr Malek Reedzwan mengenai hubungannya dengan adik lelakinya itu.
Muhammad Shafee : Sepanjang hayat Nazrin, hubungannya dengan Dr Malek tidak baik, walaupun Dr Malek kata setahun sekali berjumpa. Tak pernah pergi rumah Nazrin?
Dr Malek Reedzwan : Tak setuju dan tak pernah pergi rumah Nazrin.
Muhammad Shafee : Ada beberapa insiden yang menunjukkan hubungan Dr Malek dengan Nazrin tidak elok langsung. Contohnya, semasa Dr Malek sampai di hospital yang dilakukan bedah siasat (Nazrin), Dr Malek berasa marah apabila tidak dibenarkan mengambil gambar jenazah. Benar?
Dr Malek Reedzwan : Ya.
Muhammad Shafee : Dr Malek nak ambil gambar (Nazrin) rentung sebagai kenangan? Sungguhpun Dr Aziz (seorang lagi abang Nazrin, Dr Abdul Aziz Hassan) tidak benarkan diambil gambar kerana Samirah tidak benarkan?
Dr Malek Reedzwan : Ya, sebagai kenangan.
Muhammad Shafee : Disebabkan tak boleh (ambil gambar), Dr Malek rasa marah sangat hingga terus balik ke Johor Bahru dan tidak menyertai solat jenazah serta pengebumian adik sendiri?
Dr Malek Reedzwan : Benar.
Muhammad Shafee : Ini adalah tindakan yang tidak menunjukkan ciri-ciri seorang abang. Sepatutnya harus berdoa dan menguruskan jenazah. Saya kata ini bukan ciri abang yang bertanggungjawab. Setuju?
Dr Malek Reedzwan : Tak setuju.
Sementara itu, Ashyraf Ashy’ari turut mempersoal tindakan Dr Malek Reedzwan yang marah kerana tidak dibenarkan mengambil gambar jenazah dan bergegas pulang ke Johor Bahru tanpa menyertai solat jenazah serta pengebumian Nazrin.
Bagaimanapun, Dr Malek Reedzwan menegaskan bahawa tujuan beliau mahu mengambil gambar itu sebagai kenangan kerana adiknya semasa hidup adalah seorang yang berjaya dan ‘cantik’ namun mati dalam keadaan rentung seperti itu.
“Saya seorang yang sentiasa belajar dalam kehidupan. Walaupun kita pandai dan cantik, tapi akhirnya (meninggal dunia) seperti itu. (Jadi) Kenapa saya tidak boleh ambil gambar? Bukan nak memuat naik di media sosial. Sekadar simpanan saya. Untuk elakkan pergaduhan apabila marah, cara terbaik adalah saya balik saja,” katanya.
Samirah, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung pada 8 Mei depan. – Bernama