Home Nasional Dua pekerja tapak binaan runtuh diselamatkan

Dua pekerja tapak binaan runtuh diselamatkan

Anggota Bomba dan Penyelamat membawa mangsa kedua ke dalam van selepas terperangkap dalam bangunan kondominium yang sedang dalam pembinaan runtuh di Taman Desa Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Dua pekerja pembinaan yang terperangkap selepas sebahagian struktur kondominium 38 tingkat yang dalam pembinaan di Taman Desa di sini, runtuh hari ini berjaya dibawa keluar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kedua-duanya merupakan warga negara Bangladesh masing masing berusia 30 dan 26 tahun.

“Mangsa pertama berusia 30 tahun berjaya diselamatkan sekitar 5.15 petang dan mangsa kedua yang terperangkap disebalik runtuhan yang diteruskan misi menyelamat dengan memasang sistem sokongan bagi mengelak runtuhan berlaku berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat sekitar 9.30 malam tadi dan dikejarkan ke HKL juga,” katanya kepada pemberita di tapak kejadian sebentar tadi.

Beliau tiba ke lokasi kejadian pada pukul 8.35 malam dan sejurus selepas itu memasuki kawasan projek kondominium yang runtuh itu.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, bangunan yang runtuh merupakan tempat letak kereta enam tingkat yang berada dalam proses pembinaan manakala bangunan kondominum di sebelah runtuhan itu sudah dinaikkan sehingga lapan tingkat dan tidak terjejas dalam insiden tersebut.

Seramai 160 orang anggota dan pegawai pelbagai agensi 70 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, lebih 60 anggota bomba mewakili enam balai bomba berhampiran, Pasukan mjencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dikerahkan ke lokasi insidenĀ  itu.

Zuraida yang sempat melihat mangsa kedua berusia 26 tahun berkata, mangsa mengalami masalah bernafas.

“Saya difahamkan dia sesak nafas tadi selepas dikeluarkan tetapi doktor yang ada di lokasi berjaya menyegerakan alat sokongan pernafasan kepada mangsa yang telah terperangkap selama lima jam dibawah runtuhan itu.

“Terima kasih semua pihak berkuasa bomba, PDRM, SMART, DOSH dan Ambulans HKL dan juga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang bersiap sedia selama berjam ini untuk bertindak bagi menyelamatkan mangsa.

“Alhamdullilah tugas utama kita selamatkan mangsa kesemuanya selesai dan kita akan meneruskan pula siasatan kejadian ini,” katanya. – MalaysiaGazette