Home Nasional Jamal mohon kes saman dua menteri terhadapnya dibicara bersama

Jamal mohon kes saman dua menteri terhadapnya dibicara bersama

Jamal Md yunos
Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memohon supaya kes saman fitnah yang difailkan dua menteri terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dibicarakan bersama.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim memfailkan saman itu secara berasingan pada 2017 selepas mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka berhubung penyalahgunaan dana Yawas.

Peguam Rejinder Singh, yang mewakili Jamal berkata, anak guamnya mengemukakan permohonan itu atas alasan isu dalam kedua-dua saman berkenaan adalah sama kerana ia membabitkan penyalahgunaan dana Yawas dan saksi yang terlibat juga sama.

“Hari ini, kedua-dua pihak telah berhujah di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff dan selepas mendengar hujahan, mahkamah menetapkan 6 Mac untuk memberi keputusan sama ada membenarkan kedua-dua kes dibicarakan bersama atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas pendengaran permohonan itu, hari ini.

Rejinder turut dibantu peguam Mohammed Nasser Yusof dan Mohamad Fauzi Abdul Samad.

Peguam K. Murali, yang mewakili Yeo berkata, pihaknya membantah permohonan berkenaan berikutan jadual kedua-dua menteri tersebut tidak sama dan ini menyukarkan mereka hadir ke mahkamah sekiranya kes saman itu dibicarakan bersama.

Kes saman Yeo didengar di hadapan Hakim Rozana manakala kes saman difailkan Kok didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon.

Yeo dan Kok selaku plaintif memfailkan saman itu, masing-masing pada 14 Jun dan 6 April 2017 dengan menamakan Jamal selaku defendan tunggal.

Dalam kedua-dua saman itu, Yeo dan Kok mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka berkaitan dana Yawas dan kenyataan berkenaan disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk di laman sosial Facebook milik Jamal.

Kedua-dua plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa mereka telah menyalahgunakan dana tersebut untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.

Yeo dan Kok, masing-masing menuntut ganti rugi am RM5 juta dan RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. – Bernama