Home Ekonomi Malaysia tidak tarik balik aduan kepada WTO

Malaysia tidak tarik balik aduan kepada WTO

Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak menarik balik pilihannya untuk mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai Peraturan Delegasi Kesatuan Eropah (EU)

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, Malaysia berpendapat peraturan itu mencemarkan komitmen industri minyak sawit Malaysia terhadap kemampanan mandatori kerana mewujudkan halangan tambahan perdagangan dan menyekat usaha kemampanan negara pada rantaian bekalan minyak sawit.

“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah menyatakan hasratnya untuk menarik balik saman ke atas WTO,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan laporan agensi berita asing yang menyatakan Malaysia tidak lagi bercadang untuk memfailkan saman terhadap terhadap sekatan EU mengenai biofuel berasaskan minyak kelapa sawit.

Menurut laporan agensi berita itu, EU membuat kesimpulan tahun lalu bahawa penanaman kelapa sawit menyebabkan penebangan hutan yang besar-besaran dan tidak harus dipertimbangkan dalam sasaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Malah kataTeresa, pasukan perundangan peringkat tertinggi negara sedang mengkaji dan memperhalusi tindak balas bagi memastikan petisyen yang disediakan tidak dapat dipertikaikan.

Sementara itu, Teresa berkata, Malaysia telah diterima sebagai pihak berkepentingan untuk memerhatikan prosiding aduan Indonesia terhadap EU dan WTO.

Menurutnya, pakar perundangan Malaysia juga telah bersedia untuk membuat aduan. – MalaysiaGazette