Home Politik Usul undi percaya Pas berniat halang Anwar jadi PM – Nik Nazmi

Usul undi percaya Pas berniat halang Anwar jadi PM – Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Cadangan usul undi percaya kepada Tun Mahathir Mohamad kekal sehingga habis penggal oleh Pas semata-mata mahu menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Itu kata Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, ia adalah perkara yang tidak perlu dilakukan dan posisi parti kerajaan dalam Dewan Rakyat bukan persoalannya.

“Kerajaan masih majoriti dengan 139 daripada 222 kerusi dan tidak ada yang cuba mengusulkan undi tidak percaya kepada PM,” ujarnya dalam twitternya hari ini.

Menurut Nik Nazmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, cadangan Pas yang usul itu perlu didebat dan diluluskan juga hanya menganggu parlimen yang mahu membincangkan isu dasar negara.

“Ia juga tak menghalang Mahathir daripada berhenti apabila dia mahu,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, perangai Pas dianggap pelik kerana menjadikan kemenangan dua PRK berturut-turut oleh UMNO dijadikan alasan mahu berbuat demikian.

Jika mengikut khabar angin, katanya, usaha Pas itu dicadangkan sebagai pemula kepada pembentukan kerajaan pintu belakang bersama UMNO dengan nama Muafakat Nasional.

Menurut Nik Nazmi, Pas perlu menjadikan peristiwa dalam isu kerajaan belakang pintu di Kelantan pada tahun 1977 yang akhirnya Pas menjadi mangsa oleh UMNO.

Pas juga perlu menjadikan pesanan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya jangan sesekali bekerjasama dengan UMNO.- MalaysiaGazette