Home Seni Hidup ‘Aishah terhegeh nak harta, tak sama kes Azwan – Vida

‘Aishah terhegeh nak harta, tak sama kes Azwan – Vida

Pengasas Vida Beauty, Dato' Seri Vida bergambar kenangan dengan anaknya, Cik B dan peguamnya, Adnan Seman serta yang lain pada sidang media mengenai saman malu terhadap Azwan Ali di Ancasa Hotel, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman menempelak penyanyi Aishah yang cuba masuk campur dalam isu tindakan saman beliau kepada pengacara Azwan Ali.

Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida menegaskan, kes penyanyi Janji Manismu itu berbeza dengan Azwan kerana Aishah disifatkannya terhegeh-hegeh mahu harta.

“Kes Aishah terhegeh-hegeh hendak harta. Ada ke pergi pilih berlian? Tidak ada satu syarikat di dunia bagi peluang pilih berlian satu persatu.

“Saya sahaja yang bagi peluang sebab terhegeh-hegeh sangat. Jadi, jangan samakan kes saya dengan dia dan Azwan. Ini dalam Instagram pun rajin komen,” katanya kepada MalaysiaGazette di hari ini.

Penyanyi, Aishah Ariffin.

Vida hari ini naik angin di Instagramnya apabila memuatnaik artikel di blog yang memetik kenyataan Aishah yang berbunyi ‘permohonan maaf diperlekehkan, rasa terhinakan? sambil mengecam penyanyi senior itu.

Aishah sebelum ini terkejut dengan cara Vida membuat sidang media berhubung penyerahan barang kemas dan berlian.

Jutawan kosmetik itu turut menyelitkan ‘drama’ apabila Vida dilihat menyuap produk makanan keluaran anaknya berintikan hadiah berlian.

“I hanya boleh menyebut ‘Ya Allah…Ya Allah…Ya Allah…tak henti-henti. Bagi yang tak tahu, yang disumbat ke dalam mulut anaknya itu adalah salah satu hadiah berlian yang sepatutnya diserahkan kepada I mengikut terma penyelesaian kes ini,” tulisnya di Instagram.

Penyanyi Janji Manismu ini turut meletakkan tanda pagar #moneycannotbuyclass menerusi entri sama.

Sebelum ini, Aishah juga meluahkan tindakan Vida seolah memperlekeh permintaannya selepas menayang dan meletakkan dua berlian berharga masing-masing RM27,100 dan RM12,920 di dalam keropok.

Vida ketika ini berdepan kontroversi untuk menyaman Azwan berikutan ciapannya di laman Twitter yang menghina dirinya dengan memuatnaik video yang menunjukkan adegan membakar minyak wangi yang dihadiahkan oleh usahawan kosmetik itu.

Perbuatan tersebut tambah mengguris hati Vida apabila Azwan mengaitkan tindakannya membakar itu dengan anak-anak usahawan kosmetik itu yang maut dalam satu kebakaran beberapa tahun lalu.

Menurut Vida, tindakan Azwan yang juga menghina fizikal anak perempuannya atau lebih dikenali sebagai Cik B serta dua anak lelakinya yang sudah meninggal dunia dalam kejadian kebakaran disifatkan sebaga perbuatan tidak sensitif.

Dakwa Vida lagi, menerusi video yang dikongsi di Twitter, Azwan turut membakar sehelai selendang serta dua botol minyak wangi pemberiannya yang bernilai ratusan ringgit.

Vida akan membuat keputusan pada sidang media Selasa depan sama ada meneruskan tindakan saman ke atas Azwan. – MalaysiaGazette