KUALA LUMPUR – Kemudaratan yang sedang menghimpit rakyat kini adalah kerana kerajaan ‘Pakatan DAP’ yang gagal mentadbir negara, dakwa Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden UMNO itu mahu rakyat perlu bangkit dan bersuara bagi menentang kerajaan yang mendatangkan kemudaratan.
“Negara ini ditadbir oleh pakatan DAP sebab DAP adalah ‘master mind’ kerajaan hari ini dan kemudaratan yang kita hadapi sekarang ini tidak kira Melayu, Cina, Iban atau Bidayuh… hari ini rakyat rasa terhimpit sebab masalah keadaan ekonomi negara amat tidak baik.
“Yang mentdbir kewangan negara pula betul-betul main wayang. Dulu saya ingat dia bagus tapi rupa-rupanya paling ‘bangang’.
“Tidak sampai dua tahun tadbir negara, hutang rasmi negara sudah lebih RM100 bilion. Barisan Nasional (BN) 62 tahun tadbir negara hutang hanya RM686 bilion, dia belum dua tahun sudah jadi RM800 bilion… memang tidak tahu tadbir negara… sudahlah ‘bodoh’, ‘sombong’ pula tu,” ujar beliau ketika berucap dalam program Muafakat Nasional peringkat Parlimen Seremban malam tadi seperti laporan UMNO Online.
Tambah Mohamad, tidak cukup dengan menambah hutang negara, lebih RM80 bilion duit Petronas pula diambil dan ini tidak pernah berlaku dulu.
“Sudahlah duit Petronas diambil, harta negara pula dijual lebih RM40 bilion tanpa tander. Baru-baru ini saya betul-betul sakit hati. Dividen Tabung Haji rendah sebab katanya rugi, dulu zaman BN dividen Tabung Haji tinggi dikatanya Tabung Haji silap.
“Harta Tabung Haji diambil bgitu sahaja. Dia ambil waktu pasaran saham merudum. Tidak cukup dengan itu, Tabung Haji Plantation pula dijual. Soalan saya, kenapa jual aset waktu harga sawit merudum? Jadi kita patut marah, kita perlu bangkit pertahankan hak kita,” ujarnya.
Justeru, beliau mengingatkan agar rakyat jangan lagi terpengaruh walaupun ditawarkan dengan pelbagai tawaran baru.- MalaysiaGazette