KUALA LUMPUR – Pemergian Allahyarham Abam terus memberi kesan kepada peminatnya apabila seorang pelajar sekolah menghasilkan sebuah potret buat pelawak tersebut.
Uniknya, setiap lakaran pada kertas itu dihasilkan dengan menulis nama ‘Abam’ sehingga membentuk sebuah potret iaitu lukisan wajah pelawak tersebut yang meninggal dunia pada Isnin lalu.
Video remaja berkenaan melakarkan potret arwah Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, menjadi tular di media sosial setelah ia dikongsi remaja tersebut menerusi akaun @azimboys24 di aplikasi Tik Tok.
Menerusi video berdurasi 29 saat itu, rata-rata netizen mengagumi lukisan Abdul Azim Mohd. Rozahar, 15, bahkan ada yang menganggapnya sebagai sesuatu yang sukar untuk dihasilkan.
Abdul Azim memberitahu, dia mula melukis potret Abam selepas mendapat berita pemergian pelakon kesayangannya dengan mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyiapkan potret tersebut dengan anggara 1,000 perkataan ditulis nama pelawak itu. – MalaysiaGazette