KUALA LUMPUR – Lebih 300 peniaga Uptown Danau Kota yang tercicir dalam rancangan penempatan semula tapak perniagaan di kawasan Wangsa Maju menarik nafas lega apabila isu itu mendapat perhatian khusus daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ia susulan lawatan turun padang oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Abu Bakar Yahaya baru-baru ini.
Mereka dijamin peluang untuk bersemuka dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khamis lalu bagi mencari jalan penyelesaian muktamad.
Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, Abu Bakar hadir ke lokasi dan bertemu dengan kesemua peniaga yang dianiaya itu untuk mengetahui situasi sebenar untuk ditawarkan penyelesaian.
“Hasil kunjungan tersebut, Abu Bakar mengusulkan supaya semua peniaga bertemu wakil DBKL bagi tindakan selanjutnya.
“Ikhlas menzahirkan rasa bersyukur dan setinggi-tinggi penghargaan kepada keprihatinan Perdana Menteri kita yang telah mengarahkan pegawainya untuk selesaikan isu berbangkit ini dengan segera.
“Kini semua 320 peniaga tercicir dari mendapat tapak setelah penempatan semula Uptown Danau Kota boleh menarik nafas lega kerana masalah mereka bakal selesai tak lama lagi,” katanya selepas pertemuan Abu Bakar Yahaya bersama peniaga-peniaga malang itu.
Artikel berkaitan: Ikhlas mahu Tun M selesai masalah peniaga Uptown Danau Kota
Peniaga Danau Kota buat laporan palsu dihasut Presiden Ikhlas – Yee Kew
TERKINI : KECOH! Peniaga Danau Kota Mengamuk “Saya Bawa Pergi SPRM!”
Siasat MP Wangsa Maju, salah guna kuasa Uptown Danau Kota
TERKINI : POLIS Tangkap Seorang Lelaki “Provokasi Peniaga Danau Kota” – Ketua Polis KL
Difahamkan, Abu Bakar telah meluangkan masa lebih satu jam melawat tapak asal peniaga Uptown Danau Kota itu, selain berbual dengan peniaga di situ untuk mendengar sendiri masalah dan tuntutan mereka.
Ridzuan menjelaskan tindakan Abu Bakar itu telah memberi harapan baharu kepada kesemua peniaga yang terjejas itu kerana perniagaan itulah menjadi satu-satunya tempat kebergantungan mereka.
Tambah Mohd Redzuan, Abu Bakar juga menerusi pertemuan itu bersetuju akan membantu para peniaga terlibat secepat mungkin bagi membolehkan mereka meneruskan mata pencarian yang terjejas selama ini.
“Semua peniaga tersebut adalah ahli Persatuan Ikhlas sejak 2011 lagi, maka kami mendesak agar satu solusi konkrit dapat dicapai untuk bersama membantu kalangan peniaga dan penjaja yang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Bakar juga telah memuat naik pertemuan tersebut di Facebook peribadinya.
Dalam status itu beliau berkata, :”Alhamdulillah, pagi ini dapat bersama wakil-wakil daripada 320 peniaga tercicir kerana tidak dapat teruskan perniagaan setelah penempatan semula seramai 820 peniaga Uptown Danau Kota.
“Insya Allah esok jam 11.00 pagi mereka diminta untuk ke DBKL tindakan selanjutnya,” ujarnya.-MalaysiaGazette