Home Politik Pemilihan PPBM: Hentikan niat bunuh karakter – Syed Saddiq

Pemilihan PPBM: Hentikan niat bunuh karakter – Syed Saddiq

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media pada Program Sembang Santai Minum Pagi Bersatu Titiwangsa di Warung Pak Hasan Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di seluruh negara dinasihati supaya berhenti melakukan pembunuhan karakter.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada),  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, setiap calon bertanding wajib menunjukkan ciri-ciri kepimpinan dan keperibadian beretika, amanah dan sihat sepanjang proses pemilihan yang berlangsung dari 15 Februari hingga 29 Mac ini.

Katanya, beliau tidak mahu proses pemilihan yang pertama kali diadakan dalam parti itu tercalar dengan insiden-insiden tidak sihat dan mengharapkan kematangan politik dalam kalangan calon-calon bagi membentuk saf-saf yang berkaliber dan berwawasan.

“Dalam setiap pemilihan parti memang akan ada pertandingan kerana itu lumrah demokrasi dan kita perlu meraikannya.

“Oleh kerana, dalam pemilihan yang pertama ini, kita harus meraikan dengan membuka ruang seluas-luas kepada semua anak muda dan pada masa yang sama memastikan pertandingan yang sihat.

“Kalau boleh saya mahu pembunuhan karakter dihentikan dan menonjolkan kebolehan masing-masing. Apa sumbangan kita, apa kita boleh buat untuk menggerakkan parti jauh ke hadapan,” katanya kepada pemberita selepas bersantai pagi bersama Ahli-ahli dan calon bertanding pemilihan PPBM Bahagian Titiwangsa di Kampung Baru pagi tadi.

Turut hadir, Exco Pemuda PPBM Nasional, Wan Ahmad Dayhsal Wan Ahmad Kamal yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian Titiwangsa dalam pemilihan kali ini.

Syed Saddiq turut menasihati supaya  semua calon bertanding  kekal sebagai satu pasukan dan meneruskan perjuangan membangunkan parti dan negara.

“Walaupun semasa pemilihan ada yang berdebat, berdialog di sana sini, tetapi kita akan kembali semula ke perjuangan asal, yang mana kita semua merupakan ahli PPBM dan akan kekal setia bersama parti dalam membangunkan negara.

Ditanya mengenai pembatalan pemilihan di Bahagian Kuala Terenganu semalam oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti Negeri (JPPN), beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh siasatan.

Siasatan telah dimulakan selepas parti menerima laporan salah laku di bahagian tersebut.

“Saya bukan JPPN, kita tunggulah laporan penuh daripada mereka (JPPN Kuala Terengganu) untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Ditanya mengapa beliau membuka peluang kepada ramai anak muda termasuk Wan Ahmad untuk bertanding, Syed Saddiq berkata, selama ini anak-anak muda menjadi penggerak awal Bersatu, oleh itu, mereka tidak wajar disisihkan.

“Gabungan anak muda yang berpengalaman dengan pemimpin berpengalaman akan mewujudkan idealisme dan pragmatisme yang dapat menggerakkan parti ke tahap lebih dinamik dan inklusif dengan percambahan idea baharu anak muda,” ujarnya. – MalaysiaGazette