PARIS – Seorang pelancong China meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 – kematian pertama di luar Asia.
Mangsa, seorang lelaki berusia 80 tahun yang berasal dari wilayah Hubei mengalami jangkitan paru-paru, menurut Menteri Kesihatan Perancis, Agnes Buzyn.
Beliau tiba di Perancis pada 16 Januari dan dikuarantinkan di hospital pada 25 Januari lalu.
Setakat ini tiga kematian direkodkan di luar China iaitu Hong Kong, Filipina dan Jepun.
Perancis adalah negara pertama di luar China yang mengesahkan berlaku positif Covid-19 dengan jumlah pesakit seramai 11 orang.
Dimaklumkan enam orang lagi masih berada di hospital termasuk anak perempuan lelaki yang meninggal dunia itu tetapi dia semakin pulih.
Angka terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan China menunjukkan sebanyak 139 orang lagi meninggal dunia di Hubei – menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu meningkat lebih 1,600 orang.
Hubei juga merekodkan 1,843 kes baru dalam makluman yang diterbitkan pada hari Ahad.
Jumlah kes Covid-19 yang direkodkan di China setakat ini lebih dari 68,000.
Menteri Luar China, Wang Yi semalam berkata, wabak di Hubei kini diurus dengan lebih berkesan – “menunjukkan bahawa keseluruhan wabak itu dapat dikendalikan”.
Bercakap pada persidangan keselamatan di Jerman, Wang berkata, bilangan orang yang telah pulih mencapai lebih dari 8,000 pada hari Jumaat.
Pada mesyuarat yang sama, ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata semua negara perlu bersedia untuk kedatangan virus itu. – MalaysiaGazette