SUBANG – Kementerian Pelancongan, Budaya dan Seni (MOTAC) mensasarkan peningkatan sehingga 20 peratus jumlah pelancong tempatan ke Langkawi menerusi penerbangan dari Subang dan Pulau Pinang dari Februari hingga Jun ini.
Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, menerusi pakej pelancongan ‘The Best of Langkawi Discovery’ dengan kerjasama Tourism Malaysia dan syarikat penerbangan tambah murah, Firefly, sasaran 20 peratus mampu dicapai dalam tempoh lima bulan akan datang.
“Kita mengharapkan akan berlaku peningkatan sekitar 20 peratus daripada jumlah tahun lepas. Sebagai contoh laluan Subang ke Langkawi pada masa sama, iaitu Februari hingga Jun tahun lepas adalah sekitar 4,000 orang
“Pada kali ini, kita jangkakan masa sama peningkatan berlaku sekitar 20 peratus. Begitu juga laluan Pulau Pinang ke Langkawi pada masa sama tahun lepas sekitar 6,300 orang.
“Kita mengharapkan dengan pakej yang kita tawarkan hari ini, kementerian, Kerajaan Negeri serta Firefly akan berlaku peningkatan sekitar 20 peratus bertambah,” katanya pada sidang media di Skypark RAC Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Terdahulu, Noor Zari bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See merasmikan Pelancaran Logo (Livery) Tahun Melawat Malaysia 2020 dan pakej pelancongan ‘The Best of Langkawi Discovery’.
Tawaran pelancongan itu meliputi penerbangan dan penginapan untuk pakej pelancongan tiga hari dua malam ke Langkawi pada harga serendah RM211 seorang.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni & Budaya dan Pembangunan Usahawan Kedah, Mohd Amirul Anuar Aris berkata, Kerajaan Negeri Kedah masih mengekalkan sasaran 6 juta pelancong ke negeri itu.
“Sasaran itu masih diteruskan, isu itu (COVID-19) masih baru berlaku di negeri. Setakat ini di Langkawi, kes yang berlaku telah didapati negatif.
“Pulau Langkawi masih selamat dikunjungi bahkan saya baru balik dari Langkawi, semalam. Bahkan Langkawi masih bersih, kekalkan kawasan hijau
“Koronavirus di Langkawi setakat ini kita dapat atasinya, tapi untuk sasaran ini saya rasa kita boleh capai, walaupun ada beberapa cabaran termasuk COVID-19,” katanya. – MalaysiaGazette