Home Nasional Tiada peruntukan dalam bajet pembangunan untuk projek solar hibrid

Tiada peruntukan dalam bajet pembangunan untuk projek solar hibrid

Saksi yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Othman Semail hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Adalah tidak relevan untuk Bahagian Perolehan Kerajaan memanjangkan permohonan projek solar hibrid kepada Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) kelulusan kerana Kementerian Pendidikan hanya mempunyai bajet untuk menguruskan sistem generator (genset) diesel .

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Othman Semail berkata, Bahagian Perolehan Kerajaan mendapati tiada sebarang peruntukan dalam bajet pembangunan Kerajaan  Persekutuan untuk projek solar hibrid.

Justeru, katanya, Memorandum Pertimbangan tidak diberikan kepada JPMK.

“Mengenai surat TKSU (Timbalan Ketua Setiausaha) bertarikh 31 Mei 2016 Bahagian Perolehan Kerajaan tidak ada mengangkat sebarang Memorandum Pertimbangan kepada JPMK.

“Hal ini adalah kerana semakan Bahagian Perolehan Kerajaan mendapati tiada sebarang peruntukan dalam bajet pembangunan persekutuan untuk projek solar hibrid.

“Kementerian Pendidikan hanya mempunyai bajet pengurusan untuk sistem genset diesel sahaja. Tanpa peruntukan untuk melaksanakan projek solar hibrid, adalah tidak relevan mengangkat permohonan ini untuk kelulusan JPMK,” katanya semasa perbicaraan projek solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di kawasan pedalaman Sarawak yang membabitkan Datin Seri Rosmah  Mansor .

Terdahulu katanya, maklumat asas yang relevan untuk pertimbangan permohonan Kementerian Pendidikan adalah sama iaitu sama ada projek tersebut merupakan rancangan pembangunan kerajaan.

Jeklasnya, makluman tersebut diperlukan untuk menyediakan Memorandum Pertimbangan kepada JPMK, termasuk syor dan nasihat Bahagian Perolehan Kerajaan, untuk membantu JPMK membuat keputusan tepat. – MalaysiaGazette