Home Nasional Tiga geng curi kenderaan tumpas dalam Ops Lejang Khas

Tiga geng curi kenderaan tumpas dalam Ops Lejang Khas

Baharudin Mat Taib
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib melihat sebahagian kenderaan yang dirampas ketika sidang media kejayaan anggota polis yang telah menumpaskan sindiket curi kenderaan yang terdiri daripada 'Geng Emy Puchong', 'Geng Aliff' dan 'Geng Jamal' dalam Ops Lejang Khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 FEBRUARI 2020

SHAH ALAM – Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam berjaya menumpaskan tiga geng atau kumpulan curi kenderaan menerusi Ops Lejang Khas yang dijalankan bermula 8 hingga 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil kejayaan itu, seramai 30 individu berumur antara 16 hingga 35 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes-kes kecurian kenderaan khususnya di Lembah Klang.

“Kita juga mengambil kira kejayaan-kejayaan tahun lepas dalam usaha menurunkan kadar jenayah indeks IPD Shah Alam bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah memberi fokus ke arah memerangi jenayah curi kenderaan di sepanjang 2019.

“Tahun lalu, kita telah berjaya menurunkan kadar jenayah indeks sebanyak 305 kes bersamaan dengan penurunan negatif 24.19 peratus,” katanya pada sidang media di IPD Shah Alam, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib melihat sebahagian kenderaan yang dirampas ketika sidang media kejayaan anggota polis yang telah menumpaskan sindiket curi kenderaan yang terdiri daripada ‘Geng Emy Puchong’, ‘Geng Aliff’ dan ‘Geng Jamal’ dalam Ops Lejang Khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 FEBRUARI 2020

Dalam pada itu, Baharudin juga berkata, sepanjang operasi hampir sebulan itu, pihaknya berjaya merampas dua kereta mewah, 11 motosikal, 8 rangka motosikal, dan beberapa komponen motorsikal yang telah dileraikan (masih berstatus hilang).

“Ada dua kenderaan mewah jenama Mercedes GLA 250 dan saya percaya kereta itu masih bernilai lebih RM150,000,” katanya.

Menurut Baharudin, dengan tertumpasnya beberapa geng ini, pihaknya telah berjaya menyelesaikan sebanyak 45 kes jenayah curi kenderaan bagi IPD Shah Alam.

“Antara kumpulan-kumpulan yang telah berjaya ditumpaskan ialah Geng Amy Puchong, Geng Alif dan Geng Jamal, di mana tiga individu merupakan warganegara Myanmar.

“Selebihnya bertindak secara individu dan kebanyakannya mempunyai rekod jenayah lampau curi kenderaan dan terlibat dengan dadah,” katanya.

Katanya lagi, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan 411 Kanun Keseksaan.

“12 individu telah dituduh dibawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan, yang lainnya kita akan ambil tindakan di bawah POCA ataupun Sindiket,” katanya lagi. – MalaysiaGazette