Home Nasional Vell Paari bantah permohonan wanita dakwa isteri kedua Samy Vellu

Vell Paari bantah permohonan wanita dakwa isteri kedua Samy Vellu

Seorang wanita yang mendakwa isteri kedua Tun S. Samy Vellu, Meeriam Rosaline hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman difailkan oleh Datuk Seri S Vell Paari terhadap bapanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Anak lelaki Tun S. Samy Vellu, Datuk Seri S. Vell Paari akan memohon untuk membantah pencelahan seorang wanita yang mendakwa isteri kedua kepada ayahnya di mahkamah.

Sebelum itu, pada 2 Disember tahun lalu, Vel Paari yang juga bekas Setiausaha Agung MIC pernah memfailkan saman terhadap Samy dengan menamakan bekas Menteri Kerja Raya itu sebagai defendan tunggal.

Menerusi saman itu, Vell Paari memohon perintah tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan dilakukan mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 terhadap bapanya bagi mengetahui jangka masa bapanya mengalami kecelaruan mental.

Bagaimanapun, wanita dikenali sebagai Meeriam Rosaline Edward Paul pula pada 17 Disember pula telah mengemukakan permohonan untuk menjadi pihak ketiga atau pencelah dalam kes saman terbabit.

Seorang wanita yang mendakwa isteri kedua Tun S. Samy Vellu, Meeriam Rosaline hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman difailkan oleh Datuk Seri S Vell Paari terhadap bapanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2020.

Hari ini, kes tersebut diperdengarkan dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Sofian Abdul Razak selama hampir dua jam oleh wakil kedua-dua pihak.

Bercakap kepada pemberita sejurus selepas pendengaran kes tersebut, peguam mewakili Rosaline, RSN Rayer berkata, hakim telah menetapkan tarikh 20 Mac depan bagi sambungan hujah.

Kata Rayer, Vell Paari akan membuat permohonan membantah Rosaline yang dakwanya tidak mempunyai sebarang hak atau local standi bagi pencelahan terbabit.

“Oleh yag demikian, pihak kami akan menghantar satu lagi permohonan pada 20 Mac kelak. Pada saya, tahap mental Samy Vellu nampaknya baik sehingga beliau dilihat hadir sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

“Terpulanglah kepada pihak sana untuk buat hujahan kelak,” ujarnya.

Peguam, RSN Rayer yang mewakili seorang wanita yang mendakwa isteri kedua Tun S. Samy Vellu, Meeriam Rosaline hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman difailkan oleh Datuk Seri S Vell Paari terhadap bapanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2020.

Dalam pada itu, Rosaline masih lagi merayu dan berharap dapat bertemu serta bercakap dengan Samy dalam masa terdekat.

Rosaline sebelum ini telah memfailkan permohonan interim di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Mac tahun lalu bagi mendapatkan akses tanpa syarat ke atas bekas Presiden MIC itu, selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah bayaran nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan. –MalaysiaGazette