Home Nasional 400 peniaga risau perniagaan lingkup jika pindah ke tapak baharu

400 peniaga risau perniagaan lingkup jika pindah ke tapak baharu

Suasana perniagaan pasar malam di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi yang akan dipindahkan ke lokasi baru oleh MPKj. foto IQBAL BASRI, 18 FEBRUARI 2020

BANGI – “Tapak pasar malam tidak sesuai, tidak selamat dan tidak mesra kepada Orang Kelainan Upaya (OKU)”.

Itu antara rungutan lebih 400 peniaga pasar malam Seksyen 16, Bandar Baru Bangi yang menerima arahan berpindah oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ke tapak baru.

Semua peniaga terbabit telah diberi tempoh hingga 25 Februari ini untuk berpindah di lokasi yang terletak berhampiran dengan kawasan kilang dan sebuah hotel, kira-kira 2.5 kilometer dari kawasan sekarang.

Muhammad Sabri NoordinAhli Jawatankuasa Bertindak Peniaga Pasar Malam, Muhammad Sabri Noordin berkata, arahan itu dibantah kesemua peniaga pasar malam di sini kerana tapak baharu yang ditawarkan MPKj jauh lebih kecil dan berhampiran dengan pencawang elektrik.

“Kawasan baru terlalu kecil, sedangkan peniaga pasar malam ada 400 orang. Sangat sempit dan sesuai, apatah lagi kedudukannya dekat dengan pencawang elektrik.

“Belum lagi isu letak kereta yang mana kenderaan perlu dipakir di jalan raya besar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Seorang peniaga, Farida SM Zalman yang sudah 30 tahun berniaga di sini memberitahu, para peniaga pasar tani yang sudah pun berpindah di lokasi baru mengadu perniagaan mereka merosot dan ada yang terpaksa tutup perniagaan.

“Pasar tani sudah pindah ke tapak baru, banyak penjaja menangis sebab perniagaan merosot. Jadi, bayangkanlah kalau kami dipindahkan, berapa sangatlah kita boleh dapat,” katanya.

Mohd Nazmi Mohd Salleh

Seorang peniaga OKU, Mohd Nazmi Mohd Salleh pula berkata sekiranya pihak MPKj berkeras untuk mengarahkan beliau berpindah, pihak berkuasa tempatan itu perlu mencarikan tapak pasar malam lain kerana lokasi baru tidak sesuai untuk golongan sepertinya.

Katanya, permukaan tanah di lokasi baru tidak rata, menyukarkan dirinya untuk bergerak bagi menjalankan perniagaan menjual kad sim.

“Sebagai OKU, tapak baru itu tidak mesra OKU. Saya sudah lama berniaga di tapak lama, sudah dua tahun lebih di sini. Tapak ini senang untuk OKU macam saya bergerak. Tapak baru pula agak berbukit.

“Selain itu, tapak baru itu berhadapan dengan kilang-kilang yang mengeluarkan asap, dikhuatiri mencemarkan makanan peniaga, sekali gus boleh menjejaskan kesihatan pelanggan,” tambahnya.

Suasana perniagaan di pasar malam Seksyen 16 Bandar Baru Bangi ketika tinjauan MalaysiaGazette. foto IQBAL BASRI, 18 FEBRUARI 2020

 

Peniaga wanita, Norita juga tidak berpuas hati dengan lokasi baru kerana tapak itu berdekatan dengan pencawang elektrik.

“Jika berlaku hujan atau ribut, susah,” ujarnya.

Richard Amaladas

Richard Amaladas yang berniaga sejak lebih 18 tahun di tapak lama bimbang perniagaannya akan terjejas sekiranya berpindah ke tapak baharu yang ditawarkan oleh MPKj.

Ini kerana, tapak itu tidak mempunyai sebarang daya tarikan, jauh pula dengan kawasan perumahan.

“Saya bimbang perniagaan akan lingkup,” ujarnya.

Abdul Rashid Masaod Zainal

Keluhan ini turut mendapat perhatian Pengerusi Badan Bertindak Peniaga, Abdul Rashid Masaod Zainal yang memohon MPKj mengkaji semula arahan tersebut.

“Kawasan tapak baru itu kecil sedangkan jumlah peniaga pasar tani dalam jumlah 100 lebih pun sudah padat bayangkan hendak letak 600 petak di sana. Memang tidak sesuai,” kata beliau.

Habibullah Bakhtiar

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penduduk Bandar Baru Bangi, Habibullah Bakhtiar menyifatkan arahan perpindahan peniaga pasar malam itu tidak masuk akal kerana ia telah menjadi sebahagian daripada sejarah kewujudan Bandar Baru Bangi.

“Kami persatuan tidak ada apa-apa masalah dengan peniaga-peniaga pasar malam. Bahkan kami akan pertahankan agar pasar malam ini tidak dipindahkan.

“Pasar ini sudah 35 tahun, kami sudah pertahankan pasar malam ini sejak dulu. Pasar malam ini sudah jadi sebahagian sejarah di Bandar Baru Bangi, jadi kita kena pertahankan,” tegas Habibullah. -MalaysiaGazette