Home Krik Krik Bangsa kita tak mulia dengan jenayah dan kongsi gelap!

Bangsa kita tak mulia dengan jenayah dan kongsi gelap!

Diantara ahli kumpulan 'Ayah Yie Tiger 99' dibawa ke mahkamah untuk menjalani pertuduhan di bawah Seksyen 130 (V) Kanun Keseksaan dan Akta Keselamatan Langkah-Langkah 2012 (SOSMA 2012) di Mahkamah Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 FEBRUARI 2020

SEMALAM seorang ketua kongsi gelap Melayu bergelar ‘Ayahanda’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, memiliki tiga pucuk pistol dan 12 butir peluru sejak 2017 hingga akhir bulan lalu.

Pertuduhan pertama memiliki sepucuk pistol jenis CAL.45 Star Eibar Spain berwarna perak, sepucuk pistol jenis Taurus 9mm berwarna perak dan sepucuk pistol jenis CZ75 Compact warna hitam tanpa suatu lesen atau permit senjata.

Bagi pertuduhan kedua pula memiliki lapan butir peluru hidup jenis SME 9mm dan empat butir peluru hidup jenis S&B.45 Auto tanpa suatu lesen atau permit senjata.

Pertuduhan ketiga menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Tertuduh juga dikaitkan dengan kes tembak pemandu bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail di Taman Putra, Ampang pada 29 Ogos 2017, menyebabkan mangsa berusia 40 tahun cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, dalam prosiding sama, 11 lagi individu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, juga atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang

KESEMUA TERTUDUH TIDAK DIBENARKAN IKAT JAMIN!

Akhirnya apa yang kita dapat bila jadi atau menyertai kumpulan-kumpulan sebegini…kemahsyuran? kebanggaan? penghormatan? kemuliaan?

Di saat bangsa kita berpecah, malah ada yang menghina dan memijak-mijak, kita pulak mengambil kesempatan melakukan jenayah, membuli, peras ugut, bergaduh sesama anak bangsa sendiri…apa semua ini?

Bak kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador, segala-galanya akan mereka lakukan demi mendapatkan duit dengan mengawal premis hiburan, melakukan pelbagai perkara yang tidak patut mereka lakukan, melanggar undang-undang atas nama bahawa mereka ada persatuan dan kesatuan.

“Dengan ahli yang ramai yang boleh menakutkan orang lain, kecenderungan untuk melakukan kesalahan itu sangat besar apabila mereka bergabung di bawah pelbagai nama ‘geng’, ujarnya.

Kumpulan kongsi gelap kini menjadikan tapak projek perumahan di kawasan pinggir bandar sebagai sasaran untuk memeras ugut atau meminta wang perlindungan. Kawasan pinggir bandar di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Perak adalah antara lokasi panas yang menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap itu.

Menurut ahli akademik, Mahani Musa yang menjalankan kajian Kongsi Gelap Melayu Di Negeri-Negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu 1821-1940-an, kongsi gelap Melayu bermula sebagai persatuan kebajikan dan keagamaan, tetapi kemudian ada persatuan yang mengubah bentuk kegiatan mereka menjadi kegiatan berbau jenayah.

Katanya, kongsi gelap Melayu yang paling awal di Tanah Melayu dikesan di Pulau Pinang pada pertengahan abad ke-19 yang dinamakan Bendera Merah dan Bendera Putih.

Diantara ahli kumpulan ‘Ayah Yie Tiger 99’ dibawa ke mahkamah untuk menjalani pertuduhan di bawah Seksyen 130 (V) Kanun Keseksaan dan Akta Keselamatan Langkah-Langkah 2012 (SOSMA 2012) di Mahkamah Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 FEBRUARI 2020

Untuk rekod, selain yang kumpulan yang dihadapkan ke mahkmah semalam, baru-baru ini polis turut menahan 114 individu dipercayai ahli kumpulang sebuah ‘geng’, termasuk ketua mereka dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Genting Klang ketika mereka dipercayai sedang bersiap sedia untuk menyertai majlis angkat sumpah.

Polis turut merampas empat bilah pedang, kayu cota, buku borang pendaftaran serta enam al-Quran dan sejadah, yang dipercayai bagi tujuan majlis angkat sumpah atau ‘baiah.

Berdasarkan maklumat, kumpulan itu akan menjalankan upacara atau majlis angkat sumpah tanda setia bagi pemimpin dan ahli kumpulan.

Berdasarkan siasatan dan pemeriksaan awal di lokasi serbuan, polis turut merampas buku resit, buku pendaftaran, borang permohonan, cop pertubuhan amal, pelekat pertubuhan tulisan Thailand, pelekat dan pelbagai jenis cop.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memberi penekanan untuk membasmi kegiatan kongsi gelap di negara ini termasuk menggunakan SOSMA, POCA, Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960 dan lain-lain akta lagi.

Sebagai contoh, seramai 369 anggota kongsi gelap ditahan di bawah POCA dalam tempoh 5 tahun bermula 2014.

Status SOSMA pula kini di peringkat akhir kajian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sehingga kini ia masih boleh digunakan bagi membanteras jenayah terancang membabitkan kesalahan serius mengikut Bab VIB Kanun Keseksaan.

Diantara ahli kumpulan ‘Ayah Yie Tiger 99’ dibawa ke mahkamah untuk menjalani pertuduhan di bawah Seksyen 130 (V) Kanun Keseksaan dan Akta Keselamatan Langkah-Langkah 2012 (SOSMA 2012) di Mahkamah Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 FEBRUARI 2020

Sesungguhnya tok nenek kita meninggalkan wasiat yang cukup jelas demi agama, bangsa dan tanah air.

‘Kelebihan’ yang dimiliki bukan untuk menganiaya, tetapi untuk bertahan dan mempertahankan apa yang hak dan membanteras kebatilan.

Bangsa kita tak mulia dengan jenayah, tetapi bangsa kita mulia dengan pegangan agama dan kitabullah, bangsa kita akan jadi mulia dengan ketinggian ilmu dan peradaban.

Bila terlalu mengikut nafsu dan amarah, akhirnya anak isteri merana kerana suami dipenjara.

Siapalah yang akan memastikan dapur di rumah terus berasap dan anak yang ditinggalkan terus bersekolah jika bertahun-tahun terkurung di balik tembok besi?

Bangsa dan agama kita juga akan terus dihina dan diperlekehkan.

Sayang, mereka lupa semua itu.

Yang mereka kejar pengikut yang ramai, yang mereka kejar ‘wang tepi’ dan yang mereka kejar gelaran serta pangkat.

Namun sampai bila?

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Pelanduk mungkin lupakan jerat, tetapi jerat tak mungkin lupakan pelanduk.

Orang tua-tua dah pesan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bangkit lh anak bangsa mlyu..bangkit lh berbabakti kepd agama, bangsa n negara demi aganma, bangsa n negara kita, kita tidak blh nak harapkn bangsa lain utk menjaga itu smua, sbb bangsa lain hnya pendatang shja di tanah mlyu kita..kita lh wajid menjaga tanah air tumpah darah kita..kgn sesekali lakukan perkara yg myalahi undang2, ingat bijak bangsa kita akn di pandang tggi di seluruh dunia..ayuh bangkit bngsa ku..syg bngsa kita..

Comments are closed.