KUALA LUMPUR – Polis tidak mahu membuat sebarang keputusan terburu-buru berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mengenai kehilangan misteri pesawat MH370.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya tidak boleh membuat sebarang andaian atau keputusan muktamad selagi serpihan pesawat yang hilang bersama 239 penumpang hilang belum ditemui.
Pesawat itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.
“Kita belum dapat menemui bangkai kapal terbang serta manusia yang terlibat atau mereka yang menjadi penumpang kapal terbang itu.
“Saya tidak tahu siapa pegawai tertinggi Malaysia yang (Abbott) maksudkan itu.
“Sewaktu itu termasuk saya juga terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat tersebut. Kita siasat dari semua sudut baik dari segi keganasan, hijack (rampasan) oleh pihak tertentu, macam-macam teori dengan menggunakan teknologi canggih, macam-macam, jadi banyak fakta telah terkumpul,” katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan dab Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak yang dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah JKR, Ir Kamaluddin Abdul Rashid hari ini.
SkyNews memetik kenyataan Abbott yang mendakwa seorang ‘berpangkat tertinggi’ di Malaysia memberitahunya juruterbang pesawat MH370 mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam kejadian tersebut.
Kehilangan pesawat itu memasuki tahun keenam bulan depan.
Abott berkata, berdasarkan pemahamannya yang amat jelas daripada peringkat tertinggi Kerajaan Malaysia, sejak awal lagi sudah mengesyaki ia satu pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang.
Tetapi Abott tidak mendedahkan identiti individu terbabit.
“Saya tidak akan beritahu siapa cakap apa kepada siapa. Tetapi, biar saya ulangi – Saya mahu terangkan – ia difahamkan di peringkat tertinggi yang ini hampir pasti (kes) pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang. Pembunuhan beramai-ramai dan bunuh diri oleh juruterbang,” dakwanya dalam wawancara itu.
Bagaimanapun Abbott berpendapat dia tidak mengesyaki ada konspirasi untuk menyembunyikan dakwaan rancangan pembunuhan oleh juruterbang itu, tetapi menyokong sebarang langkah membuka semula siasatan.
Mengulas mengenai dakwaan itu, Abdul Hamid berkata, Abbott berhak menyatakan pendiriannya berdasar maklumat yang diterima kepada media.
“Saya beri keistimewaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri waktu itu, kalau beliau hendak kongsi kepada media apa yang dibualkan dengan pegawai atasan Malaysia itu terpulang kepada beliau.
“Saya di pihak polis tidak boleh memberi apa-apa komen selagi tidak ditemui (pesawat) berdasarkan undang-undang.
“Kami juga bersedia membuka semula kertas siasatan jika rangka pesawat itu ditemui,” ujarnya.-Malaysiagazette