Home Nasional Permohonan Najib, Rosmah periksa fizikal harta sitaan ditangguh bulan depan

Permohonan Najib, Rosmah periksa fizikal harta sitaan ditangguh bulan depan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Permohonan Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor serta firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL untuk mendapatkan gambar dan membuat pemeriksaan fizikal terhadap harta-harta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd terpaksa ditangguhkan pada bulan depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh 11 Mac bagi mendengar hujah pihak pendakwaan selepas terdapat sedikit salah faham berhubung tarikh pendengaran yang ditetapkan sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain telah memaklumkan kepada mahkamah hujahan belum disediakan kerana salah faham tarikh pendengaran yang sebelum ini telah ditetapkan kepada hari ini pada 3 Februari lepas.

Muhammad Jamil kemudian membenarkan permohonan bagi tempoh dua minggu lagi untuk penyerahan bertulis disiapkan dan dikemukakan kepada mahkamah.

Harta yang berjumlah RM680 juta itu berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, peguam yang mewakili Najib, Rosmah dan firma berkenaan memaklumkan kepada mahkamah yang selaku pihak ketiga dalam permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta yang disita dari premis milik Obyu Holdings telah memfailkan permohonan itu pada tahun lalu.

Obyu Holdings dimiliki Bustari, adik bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antaranya menyita sebanyak 11,991 unit barang kemas, jam tangan 401 utas dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata 234 unit dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.

Sebahagian besar barangan mewah yang dirampas polis dilaporkan dari pangsapuri yang dimiliki oleh Obyu Holdings.

Selain itu, sebuah hartanah di Kuala Lumpur turut disita pada 1 November 2018.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan selaku pemohon terhadap Obyu Holdings yang dinamakan sebagai responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. –MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.