Home Pendapat Bersediakah Malaysia Menjadi Negara Maju?

Bersediakah Malaysia Menjadi Negara Maju?

Pemandangan atas Kampung Bharu yang berlatarkan Menara Berkembar Petronas (kiri) dan Menara Kuala Lumpur (kanan) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2019

Oleh Prof. Dr. Haim Hilman

Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia negara maju pada tahun ini tidak menjadi kenyataan.

Maka diperkenal pula Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang merupakan sambungan kepada Wawasan 2020.

Dengan kata lain, kepimpinan negara memerlukan 10 tahun lagi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Berjaya atau tidak Malaysia mencapai wawasan ini pada 2030 banyak bergantung kepada komitmen kerajaan melalui kementerian, agensi, sektor swasta dan juga rakyat Malaysia keseluruhannya.

Mengapa Wawasan 2020 gagal direalisasikan? Pada dasarnya ia tidak diterjemah dengan baik dan lebih malang lagi ia menjadi agenda pihak tertentu sahaja di mana rakyat Malaysia secara amnya tidak tahu apa peranan mereka sebenarnya.

Wawasan sebesar negara maju pada 2020 yang dilaksanakan untuk tempoh cukup panjang iaitu 30 tahun berakhir dengan kegagalan adalah satu pengajaran yang cukup pahit buat pemimpin dan seluruh rakyat negara ini.

Tidak dapat dinafikan ada pencapaian ekonomi dan infrastuktur yang boleh dibanggakan tetapi itu tidak mencukupi untuk merealisasikan sebuah masyarakat madani seperti yang pernah diimpikan.

Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030

Sukar untuk menjangkakan samada wawasan ini akan berjaya atau sebaliknya. Namun jika melihat kepada pendekatan yang diambil oleh kerajaan setelah beberapa bulan ia dilancarkan, tidak mustahil ia akan berakhir dengan kegagalan juga.

WKB2030 berkemungkinan besar menerima nasib yang sama dengan Wawasan 2020 yang mana Wawasan 2020 itu lebih sering disebut-sebut seumpama slogan sahaja sedangkan hakikat kefahaman dan perlaksanaan lemah dalam konteks rakyat keseluruhan.

Untuk itu, amat perlu kerajaan memperkemas jentera-jenteranya iaitu kementerian dan agensi berkaitan serta peranan pihak swasta dalam melaksanakan WKB2030.

Objektif jangka pendek, sederhana dan panjang untuk WKB2030 harus didukung dengan strategi dan pelan tindakan yang jelas dan kukuh.

Struktur jentera perlaksanaan perlu berubah mengikut strategi. Kegagalan WKB2030 boleh dijangkakan jika jentera perlaksanaan tidak dipekemas dan dipantau dengan rapi.

WKB2030: Realiti & Harapan Ekonomi Rakyat Malaysia

Dari sudut ekonomi, kegagalan negara merekodkan pertumbuhan ekonomi yang konsisten iaitu pada kadar 6%-7% setahun sejak 1990 telah menyumbang kepada kegagalan Wawasan 2020.

Malaysia mungkin menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2024 sekiranya bermula dari tahun 2020 negara merekodkan pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5%-5.5% setahun atau pendapatan per kapita RM47,720 atau US11,700 setahun iaitu kurang 21% dari yang disasarkan bagi sebuah negara maju.

Namun pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.3% pada 2019 memberi isyarat yang mungkin tempoh lebih panjang dari 2024 untuk negara menjadi negara berpendapatan tinggi.

Ini bermakna pakej rangsangan ekonomi yang bakal dilancarkan oleh kerajaan diharapkan benar-benar berkesan dalam memacu ekonomi negara.

Faktor seperti kegagalan memajukan sektor perindustrian berteknologi tinggi iaitu yang mana hari ini masih bergantung kepada kelebihan kos buruh murah berbanding inovasi, sektor perkhidmatan yang masih belum dibangunkan sepenuhnya secara strategik serta sektor pertanian yang masih jauh dari kemodenan dan kadar produktiviti masih rendah menyebabkan tiga teras ekonomi Malaysia (perkhidmatan, perkilangan dan pertanian) ‘gagal’ melonjakkan Malaysia menjadi negara maju.

Di samping mengejar status negara maju dan berpendapatan tinggi, amat perlu untuk kerajaan memberi penekanan terhadap jurang pendapatan rakyat di antara B40 berbanding M40 dan T20.

Apalah makna status negara maju dan berpendapatan tinggi jika majoriti rakyat khususnya B40 terus tercicir dan semakin ramai mereka di kelompok bawah M40 tergelincir dan masuk ke kelompok B40.

Polisi ekonomi berteraskan kesejahteraan WKB2030 perlu dibentuk dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Amat perlu memperbaiki taburan kekayaan negara yang tidak seimbang hari ini di mana kaum majoriti jauh ketinggalan berbanding kaum minoriti.

Lebih mendukacita, kekayaan yang ada pada kaum majoriti itu pada kadar 18%-20% dalam bentuk ekuiti pula berada di tangan segelintir mereka sahaja dan mereka ini dipanggil elit Melayu.

WKB2030: Realiti & Harapan Politik Malaysia

Senario semasa politik Malaysia hari ini sangat tidak menentu.

Sejak PRU14, politik Malaysia tidak pernah reda dari pelbagai isu dan kejutan.

Isu peralihan kuasa, pendakwaan pemimpin di mahkamah, perlakuan tidak bermoral pemimpin, pembohongan kelayakan akademik pemimpin, kompetensi pemimpin dan banyak lagi benar-benar merugikan negara dan membuang masa rakyat Malaysia.

Lebih malang lagi apabila ada ahli politik ‘sepenuh masa’ boleh hidup mewah. Dengan kata lain, mereka menggunakan kedudukan politik untuk menghimpun kekayaan.

Proksi atau kroni menjadi alat mereka dan ada juga dalam kalangan mereka mengambil peratus tertentu kepada pemenang tender yang berjaya untuk projek-projek di bawah kawalan mereka.

Kegagalan menangani gejala ini telah menyebabkan budaya politik wang subur dan kejelikan amat menjolok mata.

Ini boleh dilihat di mana mereka yang bijak, berkepakaran dan berkebolehan untuk menyumbang bakti kepada parti dan negara menerusi platform politik tidak berpeluang meloloskan diri kerana tidak mempunyai kewangan yang ‘kukuh’.

Sekiranya ada sekalipun yang lolos, mereka mungkin memang telah kaya sebelum memasuki politik dan jumlah mereka ini kecil sahaja.

Dengan kata lain, sukar buat mereka yang ingin membebaskan parti dan kepimpinan kerajaan dari amalan yang telah sebati dalam politik Malaysia yang sinonim dengan politik wang ini. Walaubagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Berbalik kepada ‘kegagalan’ cerdik pandai Melayu mahupun Malaysia amnya untuk bersama dalam kancah politik negara adalah kerana tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk digunakan bagi meraih sokongan adalah realiti.

Jika mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh, mereka mungkin tidak melakukannya kerana bercanggah dengan prinsip dan integriti yang mereka dukung iaitu tidak menggunakan wang untuk mendapatkan pengaruh dan sokongan.

Lebih malang lagi ada kepimpinan utama parti di peringkat nasional dan negeri lebih selesa dikelilingi pemimpin-pemimpin kurang berkelayakan untuk berada di sekeliling mereka.

Bukan memandang rendah kepada pemimpin seperti ini tetapi keghairahan mereka untuk memegang jawatan penting dalam parti mahupun di kementerian dan agensi-agensi utama negara telah membawa padah di mana tahap kompetensi mereka yang rendah telah menyebabkan mereka menjadi bahan ketawa rakyat dan ada hingga ke tahap dunia.

Kepimpinan tinggi kerajaan sewajarnya cukup serius dalam melantik pemimpin politik untuk menerajui kementerian mahupun agensi kerajaan.

Lantiklah mereka yang berkelayakan demi memastikan negara ini kembali ke landasan yang betul.

Persoalannya adalah WKB2030 boleh direalisasikan dengan barisan kepimpinan yang dipersoal kompetensi dan integriti mereka?

Melihat kepada cara kementerian dan agensi kerajaan bekerja sejak sekian lama, di mana warga kementerian atau agensi amat menghormati jawatan atau kerusi kepimpinan utama mereka.

Jika pemimpin atas lantikan politik itu bagus, baguslah kementerian atau agensi itu dan sebaliknya jika tidak. Maka memilih orang yang betul untuk jawatan yang betul adalah sangat penting.

WBK2030: Realiti & Harapan Terhadap Sikap Rakyat Malaysia

Sikap rakyat Malaysia secara umumnya masih jauh dari sikap rakyat negara maju. Kepincangan ini antara punca utamanya disebabkan kegagalan sistem pendidikan dan institusi kekeluargaan.

Sekolah-sekolah tidak menjadi tempat mendidik yang benar-benar menitik beratkan keunggulan akhlak dan karektor.

Usaha menerapkan kasih sayang melampau hingga hilang ciri ketegasan dalam mendidik telah menyebabkan sekolah gagal menghasilkan anak muda yang budiman.

Pelajar pandai dipisahkan dari pelajar kurang pandai. Fokus lebih diberikan kepada kelas-kelas pelajar pandai berbanding kelas pelajar kurang pandai telah melebarkan lagi jurang kualiti rakyat yang dihasilkan oleh sistem pendidikan/persekolahan negara.

Sewajarnya usaha bertunjangkan perancangan dan tindakan bersepadu diusahakan untuk merapatkan jurang pelajar pandai dan kurang pandai dengan memberi lebih perhatian kepada pelajar kurang pandai kerana jumlah mereka yang jauh lebih besar.

Malangnya tidak dan akhirnya ada antara mereka terjebak dengan kes buli, peras ugut, pergaduhan, dadah dan berbagai lagi gejala keruntuhan moral.

Di samping itu, keghairahan sekolah untuk mendapatkan skor cemerlang prestasi sekolah juga menjadi punca mengapa agenda mendidik sebaik-baiknya akan setiap murid itu tidak berlaku.

Sekolah tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana KPI mereka diukur sedemikian rupa iaitu keputusan peperiksaan. Hasil daripada kekeliruan inilah menyebabkan anak muda yang dilahirkan dari sistem pendidikan negara tidak mencerminkan kualiti rakyat negara maju khususnya dari aspek sikap.

Sewajarnya kementerian berkaitan perlu menyemak kembali polisi pendidikan negara agar produk yang dihasilkan benar-benar bermentaliti masyarakat madani yang boleh menjadi tanda aras baru kepada peradaban dan kemajuan.

Institusi kekeluargaan juga semakin rosak di mana kadar penceraian sangat serius contohnya sekitar 52,000 pada 2016 dan 50,000 pada 2017.

Kos sara hidup yang tinggi turut menyumbang kepada keruntuhan institusi kekeluargaan di mana ibu-bapa terpaksa melakukan lebih dari satu pekerjaan demi untuk menyara keluarga.

Kesibukan ibu-bapa menambah pendapatan keluarga telah membawa kepada terabainya anak-anak dan ini akhirnya membawa kepada gejala sosial yang menyedihkan khususnya dalam kalangan masysrakat di kelompok B40.

Pastinya kementerian dan agensi berkaitan perlu lebih bersungguh-sungguh dalam membina kembali institusi kekeluargaan rakyat negara ini. Perancangan dan program-program pemulihan institusi kekeluargaan yang disokong dengan sistem sokongan yang sistematik amat diperlukan.

Adalah menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat negara ini memiliki nilai peradaban yang tinggi.

Dari perkara sebesar-besarnya seperti tidak mengambil rasuah, pecah amanah, tidak terjebak dengan gejala tidak bermoral, komitmen kepada kerja hinggalah sekecil-kecilnya seperti sikap terhadap alam sekitar iaitu tidak membuang sampah merata-rata, membersihkan tandas selepas digunakan, berdiri di belah kiri apabila berada di atas eskalator atau travelator, orang muda menghormati orang tua dan orang tua menyayangi orang muda, mengasihi haiwan dan alam semula jadi dan berbagai lagi perlu ditanam sebaik-baiknya oleh institusi pendidikan dan kekeluargaan rakyat Malaysia.

Begitu juga dengan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi pelaksana perlu dipertingkatkan.

Melihat bandar-bandar besar dan ada setengahnya berstatus bandaraya yang kotor, tidak terurus dengan aktiviti perniagaan khususnya ditepi-tepi jalan benar-benar menunjukkan bahawa mentaliti rakyat Malaysia terutamanya pihak berkuasa masih perlu anjakan paradigma.

Sewajarnya mereka menyediakan ruang berniaga untuk setiap rakyat yang ingin berniaga. Apabila ada rakyat membuka warung di kawasan tidak sesuai dari segi keselamatan dan kebersihan, pihak berkuasa wajib membantu mereka mendapat tempat di premis-premis perniagaan yang ada dan jika tiada ianya wajar dibangunkan.

Jangan teruskan amalan menghambat mereka yang mencari rezeki tanpa belas kasihan. Sikap semasa keras tidak mencerminkan ketinggian budi penguatkuasa yang sedang menuju menjadi negara maju.

Lebih malang lagi hari ini, di bandar-bandar besar, sederhana dan kecil di seluruh negara, dengan mudah boleh dijumpai premis-premis perniagaan dibina atau diubahsuai sesuka hati.

Perkara ini berlaku kerana kegagalan pihak berkuasa berkaitan mengambil langkah proaktif dalam memastikan kebersihan dan kesejahteraan serta menguatkuasakan undang-undang di bandar-bandar yang mereka tadbir pada tahap terbaik.

Telah sampai masanya pihak berkuasa berkaitan sentiasa berada di lapangan berbanding di pejabat.

Mereka sewajarnya menguatkuasakan undang-undang bukan apabila terima rungutan rakyat dan baru bertindak. Tegakkanlah undang-undang setiap masa dan secara telus lagi adil.

Begitulah juga dengan kementerian dan agensi lain. Para pegawai dan warganya perlu lebih banyak masa mereka berada di lapangan memantau dan menyantuni rakyat berbanding duduk di pejabat.

Dengan kata lain, pendekatan turun padang ini mampu memastikan usaha mencapai WKB2030 dapat direalisasikan khususnya dari aspek membina sikap rakyat Malaysia iaitu seperti sikap rakyat negara maju.

Kesimpulan

Berjaya atau tidak negara menjadi negara maju pada 2030 menerusi WKB2030 bergantung kepada kesungguhan kerajaan memulihkan dan memacu ekonomi negara, mengamalkan politik berintegriti, memperbaiki kelemahan sistem pendidikan dan institusi kekeluargaan negara dan tanggungjawab agensi pelaksana serta penguatkuasaan di bandar-bandar mahupun daerah-daerah di seluruh negara.

Kita mampu melakukannya jika kita iaitu seluruh rakyat Malaysia bersedia dan bersatu menjadikan negara kita sebuah negara maju, makmur dan bersatu. Ayuh Malaysia, kita buktikan semangat Malaysia Boleh terus subur di bumi bertuah ini. – MalaysiaGazette