Home Seni Hidup Delegasi 25 negara berpeluang lihat rehabilitasi kelas dunia di Melaka

Delegasi 25 negara berpeluang lihat rehabilitasi kelas dunia di Melaka

Seorang pegawai PERKESO menerangkan bagaimana rawatan HAL yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

KUALA LUMPUR –  Seramai 45 delegasi dari 25 negara berpeluang menyaksikan fasiliti rawatan kelas dunia di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (TRRC), di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Rata-rata delegasi yang merupakan ahli Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dari Eropah, Amerika, Afrika, Asia Barat, Asia Pasifik meluahkan rasa kagum melihat bagaimana pusat itu berperanan membantu pekerja yang cedera untuk pulih secara fizikal, emosi dan vokasional sebagai persiapan kembali bekerja.

Pengerusi Jawatankuasa program, Dr. Azlan Darus berkata, lawatan yang dianjurkan PERKESO itu adalah sebahagian daripada aktiviti yang sediakan menerusi Seminar bertajuk Teknikal ISSA Mengenai Pendigitalan yang diadakan di ibu negara sejak 18 Februari lalu dan berakhir hari ini.

Delegasi ISSA bergambar bersama penghuni Pusat Rehabilitasi PERKESO Ayer Keroh selepas menonton persembahan kuda kepang daripada mereka.

Katanya, rombongan delegasi dibawa menaiki dua buah bas untuk menyaksikan sendiri bagaimana Malaysia sudah bersedia dalam perubahan bidang keselamatan sosial yang dipacu pendigitalan.

“Menerusi lawatan ini, delegasi dapat melihat, membuat perbandingan serta memberi cadangan tambah baik supaya negara masing-masing mampu berlari serentak dalam memenuhi revolusi industri 4.0.

“Pusat rehabilitasi ini ibarat pusat sehenti kerana dilengkapi semua kemudahan rawatan seperti fisioterapi, hidroterapi, terapi pekerjaan, vokasional, pemulihan industri, latihan untuk kembali bekerja, pusat Cyberncs dan pemulihahan neuro-robotik.

“Antara fasiliti yang menarik perhatian delegasi adalah rawatan perubatan Cyberdyne Hybrid Limb (HAL),  teknologi perubatan inovatif bagi merawat pesakit yang lumpuh atau lemah anggota badan, di mana Malaysia negara Asia Tenggara pertama yang menggunakannya,” katanya pada sidang media selepas lawatan delegasi berkenaan.

Dalam pada itu, katanya antara isu yang  bangkitkan menerusi seminar berkenaan adalah risiko baharu pekerjaan dan perubahan pendigitalan, seperti isu keselamatan pekerja tanpa majikan.

“Kini seramai, 47, 735 pekerja tanpa majikan menerusi 20 sektor sudah mencarum menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.

“Ini membuktikan kesedaran awam terhadap keselamatan sosial mereka semakin meningkat walaupun tidak memiliki majikan,” katanya.- MalaysiaGazette