Home Utama Hotel TH: Guan Eng tidak terlibat, UJ diurus profesional Islam

Hotel TH: Guan Eng tidak terlibat, UJ diurus profesional Islam

KUALA LUMPUR – Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) menafikan segala dakwaan palsu berniat jahat mengenai Kementerian Kewangan atau Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dikatakan tidak bertanggungjawab menutup hotel-hotel Lembaga Tabung Haji (TH) dan memberhentikan pekerja-pekerja hotel terbabit.

Malah, UJ juga mengutuk segala tuduhan palsu di media sosial yang memfitnah Menteri Kewangan termasuk satu ugutan bunuh.

UJ yang merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan berkata, Menteri Kewangan tidak terlibat dengan sebarang keputusan berkenaan penstrukturan semula atau keputusan yang berkaitan dengan UJ, dan beliau juga tidak menghadiri sebarang mesyuarat yang berkaitan.

Ini kerana, pengurusan UJ dan aset-aset di bawahnya ditadbir oleh Lembaga Pengarah UJ yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif Izad Sallehuddin dan barisan pengurusan kanan UJ adalah terdiri daripada golongan profesional beragama Islam.

Menjelas lanjut mengenai pengambilalihan rangkaian hotel milik TH, UJ berkata, selepas pertukaran kerajaan pada 2018, PwC telah dilantik untuk mengendalikan kajian semula kedudukan kewangan ke atas TH.

Kajian PwC mendapati pelbagai langkah telah diambil oleh pentadbiran terdahulu bagi memalsukan peningkatan dan memanipulasi keuntungan dana.

Antara penemuan-penemuan tersebut termasuk tidak merekodkan kerugian rosot nilai aset dan transaksi kewangan yang mencurigakan bagi mencatatkan keuntungan berganda untuk membayar hibah.

Laporan PwC turut menyatakan liabiliti-liabiliti TH telah melebihi aset-asetnya, justeru itu pelan pemulihan dan penstrukturan semula oleh Kerajaan adalah perlu bagi memastikan kesinambungan dana TH.

Pada Januari 2019, TH telah membuat laporan polis berhubung dengan penyata kewangan untuk tahun 2017.

Pakej pemulihan telah diusulkan oleh TH dan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan telah diluluskan oleh Kabinet pada 7 Disember 2019, kemudiannya dibentangkan di Parlimen pada 10 Disember 2019.

Seperti yang diusulkan dalam pelan pemulihan, UJ memperoleh aset-aset bernilai RM9.63 bilion daripada TH dengan jumlah RM19.9 bilion melalui terbitan 2 siri sukuk dan tunai kepada TH.

Ini bermaksud kerajaan telah membayar sebanyak RM10.3 bilion tambahan untuk memulihkan TH.

Aset-aset yang dipindahkan kepada UJ termasuk ekuiti tersenarai, 29 hartanah dan satu aset tidak tersenarai yang meliputi empat hotel yang beroperasi iaitu TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar; dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu.

Walau bagaimanapun, pemindahan milik ini tidak termasuk hartanah atau aset milikan TH Plantations (yang sahamnya kekal dimiliki LTH).

Ujarnya, sebagai sebahagian pelan untuk menggiat dan memperbaiki prestasi aset-aset yang diperolehi, UJ telah menubuhkan anak syarikat milik penuh, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM) bagi meneruskan operasi 4 hotel tersebut.

Dengan pakej pemulihan yang bertujuan melindungi kepentingan penyumbang TH dan membantu organisasi itu kembali stabil, malah TH tidak perlu lagi menanggung kerugian aset yang bernilai RM10 bilion kerana kerugian ini akan ditanggung oleh UJ dan Kerajaan Malaysia.

LTH juga tidak perlu lagi menanggung beban dan risiko kerugian berterusan ke atas aset-aset yang telah dipindahkan ini.

Menurutnya lagi, dengan pelan penstrukturan kerajaan ini, TH sudah menunjukkan benih pemulihan dengan mengaut keuntungan sebanyak RM1.3 bilion untuk 9 bulan pertama dalam 2019.

Dalam masa yang sama, jumlah aset juga menunjukan penambahan dengan melebihi liabiliti pada jumlah RM2.3 bilion. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.