Home Nasional Kerajaan perlu telus lapor maklumat Tabung Haji

Kerajaan perlu telus lapor maklumat Tabung Haji

Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bersikap telus dalam melaporkan justifikasi mengenai penjualan atau pengambilalihan aset-aset Tabung Haji (TH) yang kini menjadi tumpuan rakyat.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, jika penjualan aset-aset itu disebabkan silap pelaburan kerajaan terdahulu atau masalah kewangan Tabung Haji, maka kerajaan wajar menunjukkan penyata tahunan kewangan bagi setiap aset-aset tersebut.

Katanya, fakta merupakan perkara penting dalam membuktikan segala tuduhan yang telahpun dilemparkan.

“DPIM merujuk kepada semakan prestasi kewangan terhadap salah satu aset yang diambilalih, iaitu TH Hotel & Convention Center Terengganu di mana ia mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM 1.025 juta pada tahun kewangan berakhir 2018.

“TH Hotel Alor Setar pula mencatatkan keuntungan RM200,000 pada tahun kewangan berakhir 2018.

“Persoalannya, kenapa aset yang mencatatkan keuntungan diserahkan kepada SPV untuk tujuan pemulihan kewangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir menegaskan, kerajaan harus jelas tentang tujuan pemulihan apabila aset itu tidak mencatatkan kerugian.

“Adakah ini salah percaturan pentadbiran sehingga menjejaskan pelaburan setiap umat Islam di negara kita yang menabung di Tabung Haji?” soalnya.

Justeru katanya, DPIM menggesa kerajaan menilai semula keputusan yang diambil demi menjaga pelaburan umat Islam di negara kita yang mempercayai pentadbiran Tabung Haji.

Ujarnya, rakyat Malaysia tidak mahu melihat Tabung Haji, sebagai institusi yang menjadi kebanggaan negara di mata dunia Islam, bakal terkubur atau muflis kerana silap percaturan kewangan atau didorong dendam politik. – MalaysiaGazett