Home Nasional MCA rujuk isu UEC, PISMP dengan Tun M, jika Nie Ching membisu

MCA rujuk isu UEC, PISMP dengan Tun M, jika Nie Ching membisu

Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – MCA akan merujuk isu sekatan kerajaan dalam pengambilan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Setiausaha Agongnya, Chong Sin Woon berkata beliau kecewa dengan sikap lepas tangan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang tidak menjawab isu tersebut sehingga hari ini.

Katanya, Nie Ching diberi tempoh sehingga 29 Februari ini untuk memberi penjelasan yang mana tiada pengambilan pelajar lepasan EUC diserap sebagai guru bahasa Cina dalam sektor awam

“Saya secara rasminya meminta Nie Ching selaku timbalan menteri tampil menjawab komuniti Cina dan menjelaskan apa sebenarnya pendirian kerajaan dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan perkembangan terkini PISMP-UEC.

“Semua nak tahu benar atau tidak pengambilan latihan guru yang sepatutnya kuota 20 tempat diisi. Jika tidak respon dalam tempoh itu kami rasa lebih sesuai dan wajar ia dirujuk kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan pemangku Menteri Pendidikan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media mengenai persiapan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Ke-71 MCA hari ini.

Malah, katanya, bukan hanya pertanyaan MCA tidak dijawab Nie Ching, namun Timbalan Menteri itu juga tidak menjawab permintaan engurusan Sekolah Cina Dong Jiao Zong dan persatuan Guru Besar sekolah Cina serta pakar akademik Cina turut mengemukakan data.

Tambahnya sistem PISMP-UEC itu telah lama diwujudkan dan ia dilaksanakanĀ di bawah perancangan pembangunan pendidikan Malaysia.

“Selepas saya ambil alih kita teruskan program itu walaupun kita tak penuhi 20 kuota yang patut diisi, dia merupakan satu program sentrik penting ke arah kita iktiraf UEC, waktu itu pelajar lepasan UEC sudah ada yang jadi penjawat awam guru yang ajar di sekolah kita termasuk berkelulusan guru bahasa Cina.

“Jadi kalau kita hentikan program ini adalah kita mengorak ke belakang dari apa yang telah kita lakukan selama ini. Mereka (DAP) sering mengutuk dan mengkritik teguran saya tapi lupa bahawa saya menyatakan kebenaran yang mana langkah terakhir ialah hanya mengiktirafnya,” tambah beliau.

Ujarnya, jika tiada pengambilan kali ini maka tiada graduan guru bahasa Cina pada 2025. – MalaysiaGazette