KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kuala Langat membantah sekeras-kerasnya cadangan menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
Dalam satu kenyataan, mereka berpendapat kerajaan negeri perlu melindunginya demi kelestarian.
Ia ditandatangani oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Kuala Langat, Mohd. Shah Rezza Mohd. Tuniman, Ketua Armada Bersatu Kuala Langat, Yunis Khalis Abdul Manap, Ketua Pemuda Amanah Kuala Langat, Wan Afiq Danish Wan Ahmad dan Ketua DAPSY Kuala Langat, Keo Heng Kiat.
“Adalah dengan ini, kami membawa suara Pemuda PH Kuala Langat
gabungan dari empat parti kerajaan ingin memaklumkan bahawa kawasan hutan simpan Kuala Langat Utara merupakan hutan simpan kekal selain berhampiran dengan perkampungan Orang Asli.
“Kami Pemuda PH Kuala Langat dengan rasa dukacitanya ingin menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk mengeluarkan keseluruhan kawasan tanah hutan simpan tersebut sebagai kawasan pembangunan bercampur,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Mereka juga mendesak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk
tidak meluluskan sebarang penukaran status tanah hutan simpan berkenaan.
Ia kata mereka, merupakan hutan simpan yang menjadi warisan, tanah adat dan telah diwartakan sebagai tanah simpanan sejak tahun 1927.
“Ia merupakan satu-satunya hutan simpan yang ada di daerah Kuala Langat ini dan jika satu satunya hutan simpan ini juga di ratah untuk tujuan pembangunan maka secara tidak langsung akan mengganggu gugat eko-sistem di kawasan tersebut,” kata mereka lagi.
Lagipun, cadangan penyahwartaan HSKLU adalah bercanggah dengan kenyataan Kerajaan Persekutuan semasa pembentangan belanjawan tahun 2019 yang menyarankan semua kerajaan negeri sepatutnya mengambil langkah untuk mengekalkan dan melindungi kawasan perlindungan sedia ada termasuk menambah kawasan perlindungan baharu.- MalaysiaGazette