Home Politik Sekretariat PH, pimpinan negeri bincang kekalkan kekuatan di lapangan

Sekretariat PH, pimpinan negeri bincang kekalkan kekuatan di lapangan

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Sekretariat Pakatan Harapan (PH) peringkat nasional akan bertemu dengan pimpinan PH negeri sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH esok bagi membincangkan keperluan mengekalkan kekuatan dalam menguasai lapangan dan program penyampaian maklumat terus kepada rakyat.

Menurut Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pertemuan itu akan diadakan kira-kira tiga jam sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung di sini.

“Sebelum PH jadi kerajaan antara kekuatan kami adalah kami cepat menguasai lapangan dan menerangkan kepada rakyat tentang sesuatu perkara.

“Jadi kami fikir setelah menjadi kerajaan lebih 20 bulan, kami mahu aspek ini diberikan penekanan yang lebih kemas dan tersusun dengan meminta pimpinan PH negeri memulakan gerak kerja,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Menurutnya keputusan bagi mengadakan pertemuan itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Sekretariat yang dianggotai setiausaha agung parti komponen PH dan dipengerusikan Datuk Saifuddin Abdullah selaku Ketua Setiausaha Sekretariat PH, semalam.

Beliau berkata turut akan disampaikan pada pertemuan itu ialah menerapkan disiplin untuk mengadakan mesyuarat di peringkat negeri seperti yang dilakukan di peringkat pusat yang menetapkan Majlis Presiden PH bermesyuarat sebulan sekali, manakala Sekretariat PH dua kali sebulan.

Dalam pada itu ketika ditanya sama akan ada mesyuarat pramajlis sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH esok, Saifuddin Nasution berkata: “Saya tidak tahu”.

Sebuah portal berita melaporkan enam pemimpin paling kanan PH akan berbincang terlebih dahulu sebelum mesyuarat Majlis Presiden.

Enam pemimpin itu ialah Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya jika PKR akan meminta ditetapkan tarikh untuk Dr Mahathir meletak jawatan berikutan permintaan beberapa pihak dalam parti untuk berbuat demikian, Saifuddin Nasution berkata: “Saya tidak tahu. Yang itu kita tidak tahu apa yang berlaku dalam PH (Majlis Presiden) nanti”.

Mengulas lanjut mengenainya, beliau berkata sebarang pendirian daripada PKR mesti dibincangkan di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan dalam pengetahuan sekurang-kurangnya pimpinan utama.

“Kita tidak boleh ambil satu pandangan, satu dua daripada pemuda, sayap wanita, ketua ranting atau pimpinan negeri… tak adil kalau dipaksakan pandangan satu dua seolah-olah itu adalah gambaran. Satu-satu keputusan politik yang dibuat mestilah bersandarkan pada pihak pembuat keputusan dalam parti,” katanya.

Mengenai gesaan Otai Reformasi mengenai isu peralihan kuasa, Saifuddin Nasution berkata: “Mereka bukan sebahagian daripada struktur PKR. Jadi kami tidak terikat dengan apa-apa pendirian yang mereka buat.”- BERNAMA