Home Nasional Alasan AG henti prosiding LTTE daif dan lemah

Alasan AG henti prosiding LTTE daif dan lemah

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Alasan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menghentikan prosiding terhadap 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang berdepan pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dilihat sebagai amat daif dan lemah.

Ini kerana kes tersebut telah berjalan selama empat bulan, katanya Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Beliau menegaskan, pihaknya menggesa agar Tommy memberikan penjelasan berhubung keputusannya yang mengejutkan itu.

“Satu persatu kes melibatkan pemimpin Pakatan Harapan digugurkan sejak Peguam Negara di zaman Pakatan Harapan memegang kuasa.

“Adakah ini satu kebetulan atau pendakwaan terpilih?

“Penjelasan harus diberikan. Kita nantikan keputusan prosiding kes rogol di Perak pula yang melibatkan Exco DAP negeri,” tegas beliau menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Shahir menggesa ketiga-tiga bidang kuasa di negara ini iaitu badan eksekutif, perundangan dan kehakiman untuk tidak berkompromi isu pengganas kerana ia bakal menghancurkan negara.

Hari ini, Tommy mengumumkan pemberhentian prosiding terhadap 12 individu termasuk dua ADUN DAP yang berdepan pertuduhan berkaitan LTTE.

Keputusan tersebut dibuat menggunakan budi bicara Peguam Negara sejajar dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette