Home Politik Kelab Penyokong Anwar juga nafi ada demonstrasi peralihan kuasa malam ini

Kelab Penyokong Anwar juga nafi ada demonstrasi peralihan kuasa malam ini

Poster yang tular menjelang mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kelab Penyokong Anwar Ibrahim (AIC) menafikan penglibatan mereka dalam demonstrasi yang dikatakan bakal diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), malam ini.

Menurut Setiausaha Anwar Ibrahim Club (AIC), Azmi Mohd Nor, berita yang tular itu adalah propaganda fitnah berikutan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Tindakan ini boleh disifatkan sebagai satu fitnah, yang dibuat secara ‘mala fide’ atau niat jahat untuk memalukan serta mencalarkan nama baik dan reputasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“AIC menyeru supaya tindakan jijik dan hina ini dihentikan serta-merta malah menasihatkan semua pihak untuk menamatkan perbuatan melaga-lagakan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini tersebar beberapa poster demonstrasi didakwa akan dianjurkan bersama oleh Otai Reformasi, Anwar Ibrahim Club (AIC) dan Jingga 13 Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan satu pramesyuarat akan diadakan dihadiri enam pemimpin Pakatan Harapan sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Presiden PH yang dikatakan akan turut membincangkan tarikh peralihan kuasa.

Pemimpin berkenaan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad; Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. -MalaysiaGazette