Home Nasional Rosmah, Najib diambil keterangan berasingan – peguam

Rosmah, Najib diambil keterangan berasingan – peguam

Datin Seri Rosmah Mansor hadir memberi keterangan berhubung pendedahan audio oleh SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor selesai memberi keterangan selama sejam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertempat di Akademi SPRM di Jalan Duta di sini.

Peguam Rajivan Nambiar yang mewakili Rosmah berkata, proses mengambil keterangan anak guamnya dan juga juga Najib bermula 3 petang.

“Sepanjang proses mengambil keterangan itu, tidak ada sebarang dokumen diminta daripada kedua-dua anak guam kami. Mereka cuma memberikan percakapan sahaja dan diberikan kenyataan sama seperti proses di Bukit Aman pagi tadi.

“Kedua dua mereka sudah memberi kenyataan, dan dirakam keterangan secara berasingan oleh SPRM.

“Proses ini adalah berkaitan rakaman audio yang didedahkan SPRM pada 8 Januari lalu,” katanya kepada para wartawan selepas Najib dan Rosmah meninggalkan bangunan menaiki kereta Perdana bernombor TN50.

Sementara itu, peguam Mohamed Rezal Rahim berkata, pihaknya tidak boleh berkongsi banyak maklumat kepada media disebabkan siasatan masih berjalan

Ditanya kemungkinan Najib bersama isterinya akan dipanggil sekali lagi Reza berkata, setakat ini tiada maklumat berkaitan perkara itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir memberikan keterangan berhubung pendedahan audio oleh SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 FEBRUARI 2020

“Kami tak terima sebarang maklumat atau indikasi mereka perlu hadir untuk sambung rakam percekapan semula selepas ini.

“Kami memberi sepenuh kerjasama sepertimana kepada polis di Bukit Aman pagi tadiĀ  dan SPRM merakam kenyataan mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Terdahulu, anggota Rela yang bertugas di pondok keselamatan akademi itu melarang para pengamal media memasuki bangunan itu sebaliknya dibenarkan menunggu di hadapan pintu masuk sahaja.

Terdahulu di sebelah pagi sekitar 10 pagi, Ahli Parlimen Pekan itu dan isteri memberi keterangan selama sejam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib dan Rosmah yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu yang turut membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.-MalaysiaGazette