PUTRAJAYA- Koperasi Profesional Putrajaya Bhd. (Koprojaya) mencadangkan kaedah pemberian Permit Import (AP) disemak semula bagi membolehkan koperasi-koperasi di negara ini menjalankan perniagaan kereta import.
Pengerusinya, Mohd. Arif Adenan berkata, perniagaan itu mampu memberi pulangan kepada koperasi dan seterusnya dapat diagihkan kepada ahli-ahli mereka.
“Sudah tiba masanya untuk koperasi terlibat dalam perniagaan kereta import.
“Selama ini, AP banyak diberikan kepada syarikat-syarikat atau individu tetapi koperasi juga mampu untuk menguruskan perniagaan seperti ini.
“Koprojaya misalnya, kami mempunyai aset dan penyata kewangan yang stabil malah kami juga ada belajar dengan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Bumiputera (PEKEMA) mengenai selok-belok perniagaan ini.
“Apabila perniagaan ini menghasilkan keuntungan yang baik, pihak koperasi boleh memberikan dividen yang tinggi kepada ahli dan ini sejajar dengan misi kami yang mahu meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia terutamanya para ahli koperasi,” katanya semasa sidang media selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koprojaya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Arif, Koprojaya memiliki aset bernilai RM14 juta dan terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan antaranya mengendalikan stesen minyak Shell.
Koperasi itu juga merancang untuk membuka pusat pengedaran barangan runcit di Putrajaya yang menawarkan barangan pada harga patut pada tahun ini.
“Kami tidak boleh membuka kedai seperti kedai runcit atau pasaraya kerana kos operasi yang tinggi sedangkan kami mahu menawarkan barangan pada harga yang murah.
“Jadi kami merancang untuk membuka pusat pengedaran di mana para pembeli boleh menempah barangan yang mereka hajati dan mengambil barangan tersebut di pusat berkenaan mengikut tarikh dan masa yang telah dipersetujui dari awal.
“Mereka juga boleh memilih perkhidmatan penghantaran terus ke rumah.
“Kami mahu memulakan projek ini di Putrajaya terlebih dahulu kerana berpendapat, selaku pusat kerajaan, ia sepatutnya menjadi tempat di mana dasar-dasar kerajaan dilaksanakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Koprojaya yang dianggotai oleh pegawai-pegawai profesional kerajaan berusia 40 tahun ke bawah mengumumkan dividen 10 peratus bag tahun kewangan 2019 kepada 1738 ahlinya.
Pengumuman dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi.- MalaysiaGazette