NAMPAKNYA dari hari ke hari pihak berkuasa terpaksa berhadapan dengan pelbagai ‘cabaran’ dalam usaha mereka membanteras dan membendung kegiatan keganasan di negara kita.
Dari hati yang paling tulus, kita berharap semua pegawai dan anggota Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas khususnya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya, JANGAN KECEWA atau patah semangat dengan tindakan mana-mana pihak yang seolah-olah memperlekehkan usaha serta memperkecilkan tindakan anda dalam memerangi keganasan ini.
Pengganas dan elemen-elemen di dalamnya tak pernah mati walaupun secara zahirnya mereka seolah-olah terkubur. Meletak senjata bukan bermakna mereka ‘menyerah’ ideologi.
Bahkan sokongan yang bukan berbentuk ‘senjata’ juga sebenarnya tak kurang bahayanya, malah terus terang saya katakan – LEBIH BAHAYA.
Penggunaan senjata kita boleh lihat darahnya, tetapi penggunaan ‘sokongan dan simpati’ itu kesannya pergi lebih jauh, apatah lagi bila ia mula meresap dalam pemikiran dan pegangan.
Pengganas tidak hanya guna peluru dan bom untuk menghalalkan perbuatan mereka, tetapi mereka tidak akan ragu-ragu menyebarkan dakyah dan propaganda mereka dengan menggunakan orang awam termasuk kanak-kanak yang tak tahu apa-apa.
Paling menyedihkan, mereka menggunakan agama dan bangsa untuk ‘mengaburi’ perbuatan keji mereka kerana mereka tahu hanyalah dua perkara inilah paling berkesan untuk mempengaruhi serta menambahkan sokongan terhadap kumpulan masing-masing.
Pada yang mudah terpedaya, mereka akan menjanjikan ‘syurga’, pada yang mudah tertipu, mereka akan menjanjikan kemahsyuran.
Bila kita tersedar, ia sudah terlambat.
Rakyat yang tidak berdosa telah dibunuh, dibom, diseksa…anak-anak menjadi yatim piatu, isteri-isteri menjadi balu dan sebagainya.
PDRM selama ini telah melakukan tugas dengan penuh cemerlang sehingga boleh dikatakan tiada langsung pengeboman termasuk pengeboman berani mati yang terjadi di negara kita yang tercinta.
Mereka telah berjaya memintas perbualan, mereka telah berjaya menghidu pergerakan, mereka telah berjaya menafsir setiap kod rahsia dan pergerakan pengganas, malah mereka telah berjaya menumpaskan setiap elemen keganasan yang ada sebelum sempat ‘puak-puak’ ini melancarkan serangan!
Begitulah hebatnya PDRM dalam hal ini.
Bukannya mereka tidak dikritik, bukannya mereka tidak dibidas, dihentam, dicaci dan sebagainya, tetapi mereka tetap istiqamah kerana mereka tahu, kalau bukan mereka, siapa lagi yang mahu melakukannya?
Sehingga kini KLCC masih teguh berdiri, masjid, gereja dan kuil masih tidak terusik, sekolah, pusat membeli belah, pejabat masih elok berada ditempatnya tanpa sedikit pun ‘diusik’ walau sebutir peluru, kerana apa?
Ini kerana kita masih ada manusia yang memegang teguh panji-panji Sang Saka Biru dan bersumpah untuk berkorban demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
Semoga segala ‘cabaran dan kesulitan’ yang dihadapi tidak mematahkan semangat warga PDRM demi memastikan negara ini bebas daripada ancaman tangan-tangan kotor yang sentiasa mahu mencari ruang untuk memporakperandakan tanah air yang tercinta ini.
Ingat, keamanan yang kita kecapi sekarang bukan murah harganya.
Berapa ramai anggota polis dan tentera yang terkorban kerananya.
Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu menyaksikan ramai warga keselamatan yang terbunuh, mayat mereka dirobek hingga terburai usus dan terkeluar biji mata, adakah kita lupa?
Jangan ambil mudah elemen keganasan walaupun sekadar memberi sumbangan atau menzahirkan rasa simpati. Ini kerana bermula daripada benda sekecil itulah, ia akan merebak kepada serangan dan pengeboman berani mati.
Jangan patah semangat PDRM, cabaran mematangkan, ujian itu mendewasakan.
Teruslah gemilang Sang Saka Biru, itu doa kami! – MalaysiaGazette
Dari hari pertama lagi tindakkan terpuji pihak polis menahan/menyiasat suspek pengganas LTTE dirasakan tidak akan kemana2 malah dirasakan hanya membazirkan tenaga dan masa sahaja.
Ianya akan terhenti setakat itu sahaja selagi tiada perubahan drastik dilakukan!
Diharap pihak tertinggi negara termasuk AGONG memikirkan penyelesaian terhadap perkara2 yang sangat meresahkan rakyat jelata ini.
Mn muhyidin yasin?..sembunyi dlm lubang kot?..