Home Nasional Ramkarpal gesa Peguam Negara uruskan pembebasan 12 individu Isnin ini

Ramkarpal gesa Peguam Negara uruskan pembebasan 12 individu Isnin ini

Ramkarpal Singh hadir pada perbicaraan dan keputusan permohonan jaminan kes individu dikaitkan dengan LTTE Saminathan A/l Ganesan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas harus menerima pujian kerana berani mengakui bahawa pendakwaan terhadap 12 individu termasuk dua wakil rakyat DAP berkaitan sokongan kepada LTTE adalah sangat lemah dan memutuskan untuk menghentikan prosiding tersebut.

Malah, Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, pujian juga selayaknya diberi kepada menteri-menteri Pakatan Harapan seperti Gobind Singh Deo dan M. Kulasegaran yang lantang membantah pendakwaan terhadap 12 individu itu selaras dengan kedaulatan undang-undang.

“Perdana Menteri telah berkata bahawa kedaulatan undang-undang adalah sangat penting dan saya berpandangan ia telah dilaksanakan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramkarpal yang jua Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP berkata, apa yang perlu dilakukan selepas Peguam Negara membuat keputusan sedemikian adalah segera membawa kesemua 12 individu berkenaan ke mahkamah supaya pertuduhan ke atas mereka dapat digugurkan.

“Dan mereka dilepaskan daripada semua pertuduhan serta dibebaskan,” katanya.

Ramkarpal turut menggesa Peguam Negara mengaturkan supaya kesemua tertuduh dibawa ke mahkamah Isnin ini untuk membolehkan proses tersebt dilaksanakan.

“Tidak ada alasan lagi untuk menahan mereka,” katanya.

Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan prosiding jenayah terhadap 12 individu yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette