PHNOM PENH – Dua beradik perempuan masing-masing berusia 98 dan 101 tahun akhirnya bertemu buat kali pertama dalam tempoh 47 tahun selepas terpisah semasa kekejaman Khmer Rouge pada 1970-an.
Bun Sen, 98, juga bersatu semula dengan adik lelakinya yang berusia 92 tahun, yang sebelum ini beliau berpendapat sudah meninggal dunia.
Kali terakhir kedua-dua beradik perempuan bertemu adalah pada tahun 1973, dua tahun sebelum komunis yang diketuai Pol Pot menguasai Kemboja.
Sekitar dua juta rakyat Kemboja mati di bawah pemerintahan Khmer Rouge.
Malah, kebanyakan ibu bapa terpisah dengan anak masing-masing.
Bun Sen juga kehilangan suaminya di bawah regim Pol Pot yang telah digulingkan pada tahun 1979 – dan akhirnya menetap berhampiran tempat pembuangan Stung Meanchey yang terkenal di ibu negara, Phnom Penh.
Sepanjang tempoh itu, dia menyara hidup dengan mencari barangan kitar semula dan kanak-kanak terbiat di kawasan tersebut.
Bun Sen berkata, dia selalu bercakap tentang impiannya untuk melawat kampung halamannya di wilayah Kampong Cham, hanya sekitar 90 batu di timur ibu negara Phnom Penh.
Tetapi banyak faktor, termasuk umurnya dan ketidakupayaannya berjalan, menyebabkan perjalanan itu terlalu sukar.
Tabung Kanak-kanak NGO Kemboja – yang telah membantu Bun Sen sejak tahun 2004 kemudian merancang untuk mencari keluarga wanita ini.
Hasilnya, mereka mendapati kakak dan saudara Bun Sen masih hidup dan tinggal di kampung.
Selepas hampir setengah abad, Bun Sen bersatu kembali dengan kakaknya, Bun Chea dan adik lelaki pada minggu lalu.
“Saya meninggalkan kampung sejak lama dan tidak pernah kembali, saya selalu fikir adik-beradik saya dan adiknya telah mati.
“Dapat memeluk kakak saya adalah sesuatu yang cukup bermakna. Dan pertama kali adik saya menyentuh tangan saya, saya mula menangis,” kata Bun Sen.
Bun Chea, yang suaminya juga dibunuh oleh Khmer Rouge, menyebabkan beliau menjadi ibu tunggal dengan 12 anak, berkata, dia juga percaya adik perempuannya telah mati.
“Kami mempunyai 13 adik beradik yang dibunuh oleh Pol Pot dan kami fikir dia sudah mati. Sudah terlalu lama, sudah lama,” katanya.
Bun Chea berkata, dia selalu bercakap tentang Bun Sen.
“Tetapi saya tidak pernah fikir yang kami dapat bertemu denganny lagi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette