Home Nasional Wujud akta baharu jika Akta Kualiti Alam Sekeliling banyak pindaan

Wujud akta baharu jika Akta Kualiti Alam Sekeliling banyak pindaan

Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin

JOHOR BAHRU – Kerajaan akan mewujudkan akta baharu berkaitan alam sekitar sekiranya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ketika ini sedang diperhalusi memerlukan banyak pindaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata pada masa ini kementeriannya sedang meneliti pindaan yang perlu dilakukan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk mengadakan keterlibatan dengan pihak berkepentingan.

“Perkembangan semalam, mereka (pihak berkepentingan) ada bengkel dua hari untuk meneliti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sedang (diperhalusi) untuk dipinda. Kalau pindaan itu banyak, kita (kerajaan) akan wujudkan akta baharu.

“Yang penting, supaya kita boleh mengawal pencemaran dengan lebih sistematik dan memastikan hukuman terhadap penjenayah kelestarian alam sekitar berpatutan,” katanya pada sidang media ‘Pasir Gudang Bandar Pertama Miliki Sistem Amaran Awal Pantau Pencemaran Alam Sekitar’ di Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Dr K. Nagulendran; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon; Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar serta Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff turun padang melawat Stesen Photoionization Detector (PID) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Yeo berkata pihaknya berharap pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dapat dibuat tahun ini, namun penggubalan akta baharu memerlukan masa.

“Jadi, kita akan buat banyak keterlibatan supaya bukan sahaja pihak industri tetapi akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak lain dapat memberi pandangan mereka bagaimana kita boleh baiki akta ini. Semalam sudah ada bengkel, selepas itu mereka (pihak berkepentingan) akan draf sama ada untuk pindaan kepada akta sedia ada atau akta baharu,” katanya.- BERNAMA