Home Nasional Ada gerombolan mahu rampas kuasa, kata Anwar

Ada gerombolan mahu rampas kuasa, kata Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir Mesyuarat Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 24 FEBRUARI 2020

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak akan tunduk kepada gerombolan yang hendak mengkhianati amanah rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Presiden PKR bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang tiba di ibupejabat PKR di sini kira-kira jam 12.40 tengah hari menjelaskan, beliau terkesan dengan sikap dan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai perubahan yang dilakukan.

Tanpa menjelaskan isi kandungan perbincangannya dengan Dr. Mahathir di kediaman Perdana Menteri itu pagi ini, Anwar berkata, PH tidak akan sekali-kali tunduk kepada gerombolan yang mahu merampas kuasa tanpa menetapkan agenda perubahan.

“Saya akan adakan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (sebentar lagi), saya baru balik dari rumah Tun Mahathir.

“Ada bincang beberapa perkara dan saya puas hati dengan pendirian dia bahawa prinsip harus kita utamakan.

“Dengan itu, agenda reform harus diteruskan,” katanya ringkas kepada wartawan yang menunggu beliau serta pimpinan PKR bermesyuarat di bangunan Mercant Square di sini, hari ini.

Anwar, Dr. Wan Azizah bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang berada di kediaman Dr. Mahathir di The Mines pagi ini untuk berbincang mengenai kemelut yang berlaku di ibu negara semalam.

Mereka dipercayai membincangkan hala tuju PH selepas beberapa siri mesyuarat melibatkan parti politik di negara ini berlangsung semalam.

Sebelum itu, Anwar dan Dr. Wan Azizah yang merupakan Timbalan Perdana Menteri gagal bertemu Dr Mahathir di Pejabat Perdana Menteri pagi tadi.

Ditanya apakah beliau mendapat berita baik dalam perbincangan itu dengan Dr. Mahathir, Anwar berkata, itu sahaja yang beliau boleh sebut setakat ini.

Menjawab soalan wartawan adakah akan berlaku perubahan kerajaan, katanya, beliau tidak boleh menyebutnya.

“Memadai saya jelaskan setakat ini, mesyuarat (perjumpaan) yang sangat baik,” katanya. – MalaysiaGazette

5 Komen

  1. Abam Non patut guna bahasa baku yg betul.. Bukan bukan gerombolan mahu rampas kuasa yg sebenar berlaku adalah melalui undang2 dan perlembagaan Malaysia ahli MP majoriti mahu membentuk kerajaan baharu bukan rampas… Jika rasa ada kesalahan sila rujuk peguam negara Tomi Tumos tu…. peeee dia kata. Byk salah dah abam non ni semakin menjadi kecelaruan minda nafsunya..

Comments are closed.