PETALING JAYA – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri tampil memohon maaf kepada ahli keluarga arwah Abam selepas didakwa menjadi punca perbalahan dengan isteri pelawak itu baru-baru ini.
Aliff, 33 berkata, dia sedia bersemuka dengan adik Abam iaitu Ali Puteh bagi menjernihkan keadaaan dan enggan kontroversi yang melanda itu berpanjangan.
Dia juga terbuka untuk bertemu ibu Ali, Sabariah Arshad dan juga balu Abam, Nor Hidayah Mohd Ali.
“Saya mohon maaf pada Ali, ibunya serta Hidayah dan saya bersedia bersemuka dengan mereka. Saya mohon maaf bukan bererti saya salah, sebaliknya tidak mahu panjang-panjangkan cerita.
“Biarlah saya mengalah sahaja, saya juga berharap orang luar di sana berfikir sebelum mengutuk saya.
“Saya tahu saya tidak berhak campur tangan, tapi saya tidak akan bertanya kalau pihak di sebelah sana (Hidayah) tidak bercerita. Kalau saya tahu jadi macam ini, saya memang tidak akan pergi (buat temu bual).
“Lepas jadi macam ini, saya ada hubungi Hidayah tapi dia tidak angkat mungkin dia pun tertekan dengan isu ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media khas yang diadakan di ibu pejabat D’Herbs, Kota Damansara di sini hari ini.
Aliff sebelum ini teruk dikecam kerana dikatakan menjadi punca kepada ‘perbalahan’ di antara Ali dan kakak iparnya.
Menerusi video kontroversi itu, Aliff bertanyakan tentang harta peninggalan arwah Abam sehingga mencetuskan kemarahan Ali yang melemparkan kata hinaan kepada kakak iparnya.
Mengenai tindakannya akan menurunkan video tersebut, Aliff berkata, dia tidak akan berbuat demikian malah menafikan dakwaan mengatakan dia hanya mengejar keuntungan.
“Saya tidak buat duit pun dengan siarkan video itu. Bagi saya, kalau content (kandungan) itu memalukan saya sampai ramai mencerca saya itu bukan content yang bagus.
“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak bersalah apabila bertanyakan soalan sebab dia yang bercerita. Sebagai manusia biasa, takkan saya tak respons bila orang dah bercerita sebegitu,” ulasnya lagi.
Arwah Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu akibat demam panas.
Balu dan anak arwah, Syed Uthman Hamzah kini menetap di kediaman ibu bapanya di Sabak Bernam. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: