Home Ekonomi EU perlu cari jalan kompromi tangani isu minyak sawit – RSPO

EU perlu cari jalan kompromi tangani isu minyak sawit – RSPO

MANCHESTER, 24 Feb – Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) berpandangan sebarang perkembangan negatif berhubung minyak sawit boleh diselesaikan menerusi perspektif jelas serta penjelasan yang progresif dan seimbang mengenai rantaian nilai komoditi oleh kedua-dua pembeli minyak sawit utama dan juga pengeluar utama.

Ketua Operasinya (Eropah) Dr Inke van der Sluijs berkata, perlu ada komunikasi dan perbincangan selanjutnya antara negara pengeluar dan negara pengguna bagi mencari penyelesaian jangka panjang yang menyumbang kepada rantaian bekalan minyak sawit lestari, yang sepatutnya termasuk pekebun kecil sawit, kerajaan dan masyarakat madani.

“Ia bukan hanya bagi minyak sawit sahaja tetapi juga bagi rantaian bekalan komoditi lain juga,” katanya kepada Bernama.

Mengenai gembar-gembur tentang perladangan kelapa sawit yang menghasilkan jejak karbon yang besar, beliau menegaskan langkah menggantikan minyak sawit dalam biobahan api bermakna perlu menggantikan sumber bahan api.

“Penting untuk menimbangkan kesan menggantikan bahan ini dan beralih kepada minyak alternatif, sebagai contoh, akan memerlukan lebih banyak tanah dan air, yang sudah pasti tidak akan dapat mengurangkan jejak karbon,” katanya.

Parlimen Eropah (EU) bersetuju untuk menghentikan penggunaan minyak sawit dalam bahan api pengangkutan bermula secara efektif 2024 dan menghentikan sepenuhnya import minyak sawit bagi bahan api pengangkutan menjelang 2030.

Indonesia, Malaysia dan Thailand adalah sumber utama import minyak sawit EU. Pada 2017, hampir tiga suku import minyak sawit EU datang dari ketiga-tiga negara ASEAN ini.

Selain itu, 46 peratus import minyak sawit EU digunakan bagi biodiesel yang berjumlah EUR 2 bilion (RM9.06 bilion) setahun berdasarkan kepada data 2017 data.

Meskipun beberapa langkah tindak balas yang diambil Malaysia dan Indonesia, yang menyumbang hampir 85 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global, EU nampaknya masih tetap berhasrat meneruskan matlamat tenaga boleh diperbaharui mereka.

Malaysia sendiri telah mengambil langkah proaktif bagi ketelusan minyak sawit apabila membenarkan peta tanah dan perladangan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak boleh diakses orang ramai bagi menangani pembasmian dan kebakaran hutan.

Ia juga mungkin menggantung perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan EU dan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) sehingga isu amalan tidak adil dan diskriminasi terhadap minyak sawit diselesaikan.

Duta EU dan Ketua Delegasi di Malaysia, Maria Castillo Fernandez ketika menjawab perkara itu mengatakan kelebihan perdagangan Malaysia boleh berkurangan pada masa depan berikutan penangguhan rundingan mengenai FTA.

Malaysia dan Indonesia secara kolektif dilaporkan akan menubuhkan dana bersama sebagai tindak balas kepada kritikan pihak industri dalam keadaan pemantauan teliti terhadap komoditi itu yang didakwa mengakibatkan kerosakan alam sekitar meluas.

Van der Sluijs juga menekankan kelapa sawit hanya perlu ditanam dengan cara memelihara kepelbagaian bio dan ekosistem semula jadi, tanpa pembasmian hutan, menghormati masyarakat tempatan dan warga kerja di negara pengeluar minyak sawit.

“Keahlian kami terus meningkat, dan pada 2020 kami menjangkakan lebih banyak penanam dan syarikat memberi komitmen untuk menyokong pengeluaran minyak sawit mampan.

“Kami juga percaya terdapat peluang untuk penanaman sawit yang diperakui RSPO di Indonesia dan Malaysia, yang bersama-sama membekalkan lebih 90 peratus minyak sawit mampan, untuk memenuhi permintaan pengeluar dan pengguna Eropah,” katanya.

Mengulas mengenai penyertaan pekebun kecil dalam program kemampanan, beliau berkata RSPO telah menyaksikan peningkatan penyertaan pekebun kecil yang memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Berdasarkan Laporan Impak 2019 RSPO, bilangan pekebun kecil bebas telah meningkat 52 peratus dan jumlah keseluruhan pekebun kecil melonjak 165 peratus bagi tempoh 1 Julai, 2018 hingga 30 Jun, 2019.

“Ini merupakan hasil yang menggalakkan khususnya apabila ahli kami memilih untuk mengamalkan Piawaian Pekebun Kecil Bebas pada November tahun lepas, kami berharap akan menjadi satu kekuatan untuk pertumbuhan yang akan menambah baik kehidupan pekebun kecil,” katanya.

Van der Sluijs mengulangi pendirian RSPO mengenai pengeluaran minyak sawit secara lestari bahawa minyak sawit mampan yang diperakui merupakan penyelesaian praktikal dan realistik kepada cabaran serta kebimbangan yang dihadapi industri itu.

“Kami dan lebih 4,500 ahli kami di peringkat global sama-sama merasakan pentingnya memastikan minyak sawit dihasilkan secara mampan dan mematuhi kriteria kemampanan alam sekitar dan sosial yang ketat,” katanya. – MalaysiaGazette