Home Sukan Perlawanan persahabatan Harimau Malaya-Bahrain dibatalkan

Perlawanan persahabatan Harimau Malaya-Bahrain dibatalkan

Stuart Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di antara skuad kebangsaan, Harimau Malaya dengan Bahrain di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town, Bahrain yang dijadual pada 21 Mac 2020 terpaksa dibatalkan.

Ini kerana Kerajaan Bahrain mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara berkenaan membabitkan individu-individu dari negara yang berdekatan atau dijangkiti wabak Covid-19 termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

Stuart Ramalingam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA) menerusi Setiausaha Agungnya, Ebrahim Saad Al Buainain memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan penganjuran perlawanan berkenaan berikutan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan negara tersebut.

FAM menerima secara terbuka pembatalan aksi bertemu Bahrain ini dan akan melakukan pelan alternatif bagi penyediaan pasukan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE di Dubai pada 26 Mac 2020 dan menentang Vietnam di Bukit Jalil pada 31 Mac 2020.

Perkembangan terkini mengenai persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette