Home Nasional Proses demokrasi berjalan dengan baik – Hamid Bador

Proses demokrasi berjalan dengan baik – Hamid Bador

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap kepada media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan semua pihak agar bertenang dengan perkembangan politik ketika ini.

Beliau menegaskan, semua pihak diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap proses peralihan kuasa, khususnya yang melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi.

“Proses demokrasi sedang berjalan dengan baik.

“Insya-Allah dalam masa terdekat segala keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan dapat diumumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadap YDPA di Istana Negara, petang ini.

Awal hari ini, Dr Mahathir meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Ketujuh dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkuatkuasa, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid juga menyeru semua pihak khusus pemimpin parti politik, penyokong dan orang ramai agar bersabar terhadap perkembangan semasa itu.

“Keadaan dalam negara dalam baik, jalankan kegiatan harian seperti biasa, tiada apa-apa ancaman saya terima setakat ini.

“Tiada isu yang boleh menyebabkan orang berkelahi. Saya akan terus memantau dan akan pastikan tidak berlaku perkara tidak diingini.

Kami akan ambil tindakan sekiranya ada pihak menimbulkan cerita tidak benar, menyebabkan kegusaran rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette