KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak enggan berkongsi calon perdana menteri baharu pilihannya kepada pihak Istana Negara.
Bagaimanapun beliau melahirkan rasa lega dan bersyukur kepada pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjalan lancar hari ini.
“Bagus. Alhamdulillah, (jumpa) seorang-seorang, tiap-tiap orang, terpulang kepada tuanku (sesi temubual).
“(Apa nama yang dicadangkan?) Itu tak bolehlah, itu rahsia,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui pemberita di luar pintu Istana Negara petang tadi.
Bekas Perdana Menteri itu antara 90 ahli Parlimen yang diundang YDPA ke Istana Negara bagi menghadiri sesi temubual bersama baginda.
Sesi temubual yang mengambil masa dua hingga tiga minit bagi setiap ahli Parlimen itu dilakukan oleh baginda sendiri yang bermula sejak 2.30 petang tadi.
Sesi temuduga ahli-ahli Parlimen dengan YDPA hari ini membabitkan 90 orang dan baki daripada 222 kawasan Parlimen akan disambung esok. – MalaysiaGazette