Home Nasional Johor bakal dapat MB baharu?

Johor bakal dapat MB baharu?

Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) negeri ini yakin mampu meraih sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

BN Johor kini mempunyai 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing UMNO (14) dan MIC (2). Parti itu turut mendapat sokongan satu kerusi yang dimenangi Pas.

Dengan perkembangan semasa, BN Johor juga yakin mendapat sokongan daripada 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ia menjadikan semua jumlah kerusi yang dijangka berpihak kepada BN adalah 28.

Pada masa sama, DAP mempunyai 14 kerusi DUN, Amanah (9) dan PKR (5), dengan jumlah keseluruhan kerusi yang dimiliki ketiga-tiga parti itu adalah 28.

Persoalannya, pihak mana yang mampu menarik sekurang-kurangnya seorang lagi ADUN bagi mendapatkan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri?

Adakah ia dari PKR atau pun Amanah?

Dalam pada itu, Pengerusi BN, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, beliau sudah mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam bagi memaklumkan perkembangan politik semasa di negeri ini.

Tambahnya, BN Johor sedang merangka apa yang perlu dan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, namun menegaskan mereka tidak sesekali akan bekerjasama dengan DAP.

Peletakan jawatan perdana menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) keluar dari Pakatan Harapan menyebabkan beberapa kerajaan negeri yang dibentuk selepas Plihan Raya Umum 2014, 9 Mei lalu berkemungkinan mengalami perubahan.

Menteri Besar Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah jawatan pada 14 April lalu  adalah dari PPBM. – MalaysiaGazette.