Home Nasional SRC International: Mahkamah tangguh, Najib hadir mesyuarat di PWTC

SRC International: Mahkamah tangguh, Najib hadir mesyuarat di PWTC

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang masuk hari ke-82 terpaksa ditangguhkan pada hari ini kerana beberapa sebab.

Peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah memohon kebenaran pengangguhan kerana tertuduh, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menghadiri mesyuarat penting di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selain itu, selepas mesyuarat penting yang dipercayai akan dihadiri pimpinan tertinggi parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pas itu, terdapat kemungkinan mereka akan ke Istana Negara.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Selain itu, perbicaraan hari ini juga tidak dapat diteruskan kerana saksi pembelaan, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosman Abdullah tidak dapat hadir memberi keterangan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan untuk menangguhkan perbicaraan dan akan bersambung pagi esok.

Semalam dalam posting laman sosial Facebook, Najib membayangkan bahawa ‘krisis’ yang sedang melanda negara mungkin akan berpanjangan seperti cerita di Netflix. -MalaysiaGazette