KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di kediamannya di The Mines Residence, Seri Kembangan tepat pukul 6 petang tadi.
Perdana Menteri Interim itu yang pulang dari pejabatnya di Putrajaya sempat melambaikan tangan sambil tersenyum ke arah beberapa wakil media yang menunggu di pintu masuk B, kediamannya itu.
Mahathir meninggalkan pejabatnya di Putrajaya pukul 5.44 petang dengan diiringi anggota polis pengiring.
Perdana Menteri Interim itu menghabiskan hari pertamanya di pejabat dengan menemui beberapa pemimpin parti politik negara.
Ia dipercayai bagi proses membentuk jemaah menteri yang baharu.
Terdahulu, beberapa wakil media ‘berkampung’ di dua pintu masuk ke kediaman beliau iajtu di pintu A dan B sejak pukul 8 pagi tadi.
Kehadiran wakil media bagi melaporkan perkembangan semasa berikutan kemelut politik negara yang berlaku ketika ini.
Pagi tadi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat hadir di kediaman Mahathir pada pukul 8.05 pagi.
Beliau menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire hitam diiringi beberapa kenderaan lain.
Kunjungan Muhyiddin dipercayai bagi memujuk Mahathir agar tidak melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu dan meneruskan peranannya sebagai Perdana Menteri.
Turut hadir di rumah Perdana Menteri interim, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. – MalaysiaGazette