KUALA LUMPUR – Wajah menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) sudah tidak kelihatan dalam portal rasmi kementerian yang dipimpin oleh mereka.
Terawal adalah Kementerian Pertahanan yang pernah diterajui oleh Mohamad Sabu – tidak lagi memaparkan wajah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.
Malah wajah Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong juga telah hilang dalam portal rasmi kementerian itu.
Turut tidak dikesan wajah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Rina Harun dan Timbalannya, R. Sivarasah.
Gambar bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta bekas timbalannya, Eddin Syazlee Shith juga sudah tiada lagi.
Dalam laman web KKMM itu tertera tulisan ‘Harap maaf, senarai sedang dikemaskini’.
Bagaimanapun dua portal kementerian masih memaparkan wajah menterinya iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia.
Wajah Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dan Datuk Amiruddin Hamzah masih boleh dilihat di portal rasmi Kementerian Kewangan.
Begitu juga dengan wajah M. Kulasegaran dan bekas timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar juga turut boleh dilihat lagi dalam portal rasmi kementerian.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, pembatalan itu sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan selaras dengan peletakan jawatan Perdana Menteri pada hari yang sama.
“Sehubungan itu tugas anggota pentadbiran merangkumi Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan setiausaha politik terhenti pada tarikh sama,” katanya dalam kenyataan, semalam. -MalaysiaGazette