Home Sukan Bukan sabotaj Stadium Shah Alam – Hamidin

Bukan sabotaj Stadium Shah Alam – Hamidin

Hamidin Mohd Amin.

KUALA LUMPUR – Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan dakwaan bahawa pihaknya mahu mensabotaj Selangor, daripada beraksi di Stadium Shah Alam bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 bermula Jumaat ini.

Sebaliknya, beliau berkata keputusan MFL selaku badan pentadbir Liga-M belum memberi kelulusan bagi Selangor menggunakan venue keramat mereka itu sebagai gelanggang tuan rumah, kerana mengambil kira aspek keselamatan penonton.

Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata pihak MFL akan mengadakan pemeriksaan ketiga ke atas stadium yang mempunyai lebih 80,000 tempat duduk itu pada Jumaat ini, untuk memastikan venue berkenaan benar-benar selamat digunakan oleh skuad Gergasi Merah.

“Saya tidak nafikan zaman sekarang dengan media sosial, apabila ada keputusan tidak menyebelahi sesetengah pihak, mereka kata sabotaj, itu lumrah. Ini bukan soal kita nak sabotaj, kerana Stadium Shah Alam adalah stadium kedua terbesar di negara ini selepas Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya difahamkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan buat satu cara, dengan menutup sebahagian stadium yang bumbung bocor. Saya mengingatkan FAS untuk rancang betul-betul, bagaimana nak tutup sebahagian sahaja dan di mana pula pintu masuk?,” katanya ketika perjumpaan FAM bersama media di sini, hari ini.

Justeru, Hamidin yang merupakan bekas Setiausaha Agung FAS, menyerahkan kepada pasukan MFL yang akan membuat pemeriksaan itu kelak, untuk membuat keputusan.

“Dalam hal ini, kalau tak boleh benarkan, kita tak benarkan kerana melibatkan keselamatan orang ramai. Kebocoran ini semakin besar, jika mencederakan penonton, nanti FAM dan MFL yang akan dipersalahkan,” katanya.

Darul Ehsan Facilities Management (DEFM), syarikat yang menguruskan Stadium Shah Alam, sedang dalam proses membaiki bumbung stadium itu, yang dibina pada 1994.

Pada Kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020, bulan lepas, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian pelbagai pihak, terutamanya dalam soal padang dan bumbung bocor, yang menyebabkan serpihan bumbung stadium jatuh di kawasan penonton.

Selangor sebelum ini mempunyai pelan alternatif untuk beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, sekiranya Stadium Shah Alam tidak dapat digunakan, namun difahamkan stadium yang menjadi gelanggang PJ City FC itu juga, belum mendapat kelulusan daripada MFL.

Skuad Gergasi Merah akan memulakan kempen Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu ini, sebelum menjadi tuan rumah aksi berdepan Perak pada 7 Mac.- BERNAMA