KUALA LUMPUR – Jangan baling batu, sembunyi tangan!
Itu teguran Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) kepada puak Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa polemik politik yang berlaku ini disebabkan oleh pembangkang.
“Hari ini mereka menunding jari ke arah pihak pembangkang untuk menyalahkan keadaan. Harus diingat, perebutan kuasa Perdana Menteri berlaku di antara pemimpin PH.
“Harus diingat, parti yang keluar daripada PH adalah parti gabungan mereka sendiri. Akhir sekali, 11 orang ahli Dewan Rakyat yang menjadi bebas adalah daripada PH, hingga menyebabkan Pakatan Harapan hilang kuasa majoriti di Parlimen.
“Jadi, rakyat boleh menilai ketulusan pemimpin PH terhadap rakyat, ekonomi dan kemakmuran negara,” kata Ketua DPIM, Shahir Adnan dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, DPIM menyeru ahli-ahli politik di Malaysia untuk bersikap adil kepada rakyat.
Beliau berkata, polemik perebutan kuasa jawatan Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin PH telah menyebabkan keadaan ekonomi negara merudum jatuh ke paras terendah sejak tahun 2011.
“Keadaan matawang ringgit turut menjadi lemah hingga menyebabkan negara kerugian berpuluh bilion ringgit dalam tempoh beberapa hari polemik bermula. Kekalutan polemik politik kerajaan Pakatan Harapan bermula kerana kerakusan kuasa pemimpin mereka sendiri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shahir berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Muafakat Nasional yang terdiri daripada parti utama Barisan Nasional dan Pas yang hanya bersedia bersama kerajaan perpaduan sekiranya tanpa DAP. – MalaysiaGazette