JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) tetap yakin kerajaan negeri ini dapat dibentuk tidak lama lagi sekali gus Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak perlu dibubarkan bagi tujuan tersebut.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad juga yakin pihaknya mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
“Ya kita percaya masih mempunyai cukup sokongan seperti dimaklumkan sebelum ini, cuma hari ini kita rasa tidak sesuai untuk membuat sebarang pengisytiharan dari segi bilangan kerana masing-masing membut pengakuan kepada DYMM Tuanku.
“Ia satu pengakuan yang sahih dan tiada boleh diragukan mana-mana pihak, maka sekiranya keputusan itu dibuat kita harap jangan ada pihak mempersoalkan perkara itu termasuk diri saya,” katanya selepas pertemuan bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini hari ini.
Hasni yang juga Pengerusi BN Johor menegaskan, semua pihak harus menghormati proses itu dan apa juga keputusan yang dibuat sambil memaklumkan semua ADUN pasti dengan pilihan mereka.
Ditanya adakah ada perbincangan berhubung pelantikan Menteri Besar yang baharu , Hasni berkata, tiada perbincangan berhubung perkara itu.
“In sha allah jika semua berjalan lancar kerajaan negeri akan dapat dibentuk dan diumum tidak lama lagi,” tambahnya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan bersama ADUN di negeri ini bagi mendengar dan meminta mereka membuat pilihan untuk membentuk kerajaan baharu dengan Pakatan Harapan atau gabungan baharu.
Difahamkan lebih 50 ADUN negeri ini hadir pada pertemuan itu.- MalaysiaGazette.
Artikel berkaitan